USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

80 PELAJAR USM TERIMA DANA KHAS APEX

Yayasan1

USM, PULAU PINANG, 18 Disember 2017 – Sejumlah 80 orang pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) semester pertama Sidang Akademik 2017/2018 menerima sumbangan dana khas APEX bertujuan meringankan beban dan kos sara hidup bagi pengajian semester ini.

Pelajar yang dipilih oleh Yayasan USM merupakan pelajar yang kurang berkemampuan dari segi kewangan bagi meneruskan kelangsungan pengajian mereka di sini.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata sumbangan ini merupakan inisiatif Yayasan USM yang merupakan badan korporat khas yang ditubuhkan USM bukan sahaja menjana, merencana dan menguruskan dana sumber-sumber kewangan, malah seiring mengenalpasti dan membantu pelajar yang kurang berkemampuan termasuklah hal berkaitan penyelidikan, alatan dan keperluan berkaitan pembangunan USM.

“Sejak penubuhannya lagi, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh Yayasan USM untuk dinikmati oleh pelajar-pelajar USM. Sebagai contoh, projek Kami Prihatin (KAMPRI) anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPPUSM) bersama Yayasan memberi bantuan makanan percuma, bantuan bayaran yuran tertunggak pelajar, bantuan komputer riba untuk pembelajaran dan bantuan lain-lain yang berkaitan dengan USM.”

“Ini menunjukkan keprihatinan pihak Universiti yang sentiasa memikirkan jalan dan ikhtiar agar kebajikan para pelajar terjamin di sepanjang pengajian mereka di USM,” kata Naib Canselor ketika hadir menyampaikan sumbangan dana khas APEX kepada pelajar terlibat di Dewan Pembangunan Siswa 1, Kompleks Cahaya Siswa, USM.

Tambahnya lagi, bantuan khas ini adalah daripada Tabung Dermasiswa Kasih USM (TBDK) yang telah ditubuhkan pada Mac 2015 melalui sumbangan daripada staf USM, Alumni USM, dan badan-badan korporat yang berkaitan.

“Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada semua penyumbang dan penderma, dan setakat ini seramai 500 orang pelajar kurang berkemampuan telah menerima manfaat daripada bantuan khas ini, yang mana agihan dana dari Tabung ini dibuat dari semester ke semester.”
 
Asma turut berharap dengan bantuan seperti ini juga dapat meningkatkan kesedaran pelajar bukan sahaja hanya menerima malah berusaha mencari idea bagi menolong sesiapa juga yang memerlukan demi memenuhi agenda APEX mengurangkan jurang kemiskinan demi pembangunan bakat yang berkualiti.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 1633

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024