USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PDRM ERATKAN HUBUNGAN DENGAN WARGA KAMPUS USM

pdrm

USM, PULAU PINANG, 17 Disember 2017 - Majlis syarahan kepimpinan pencegahan jenayah serta sesi dialog bersama warga kampus Universiti Sains Malaysia (USM) yang baru-baru ini diadakan di sini diserikan dengan kehadiran Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPK Pulau Pinang, YDH SAC Dato' Mohamad Anil Shah.

Tujuan program ini ialah untuk mengeratkan hubungan baik antara pihak atasan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPK Pulau Pinang dengan masyarakat terutamanya warga kampus USM.

Syarahan ini turut memberi penjelasan dan pendedahan yang jelas kepada masyarakat mengenai tugas kepolisan pada masa kini yang kian mencabar.

Antara lain, sesi dialog ini memberi kesedaran yang baik tentang bagaimana pihak polis membantu masyarakat dalam apa jua situasi di kala berlakunya kecemasan.

Dalam majlis ini, Mohamad Anil memberi penekanan dan penjelasan mengenai betapa pentingnya aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) yang boleh dimuat turun aplikasinya untuk kegunaan masyarakat khasnya jika berlaku sebarang kecemasan.

“Melalui VSP, masyarakat kini boleh menyalurkan aduan/maklumat yang dilengkapi dengan elemen multimedia seperti gambar, video dan koordinat GPS lokasi kejadian,” katanya.

Beliau juga menyeru masyarakat untuk bersama-sama memanfaatkan aplikasi VSP ini sepenuhnya bagi membantu pihak polis memerangi dan mencegah jenayah. Keamanan dan kesejahteraan negara adalah tanggungjawab bersama.

Seramai 350 orang hadir di majlis yang berlangsung di Kompleks Cahaya USM ini.

Yang turut hadir ialah Ajutan Kor SUKSIS, Deputy Superintendan Dr. Mohd Adi Firdaus Tan Abdullah; Pegawai Penyelaras Kor SUKSIS, Asistant Superintendan Abdul Ghani Mohamad Ali; ASP/KS Ahmad Zulman Mohd Zain; ASP/KS Zulkifli Che Hussin dan Timbalan Komandan Palapes Leftenan Kolonel Sharizal Nazri.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 1975

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024