USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

‘BOOQEF’ BERKONSEPKAN WAU BULAN MENANG PERTANDINGAN REKA CIPTA

EAM 4997

 

PULAU PINANG, 6 Disember 2017 – ‘BOOQEF’ yang berkonsepkan permainan tradisional wau bulan telah memenangi pertandingan Moredesign Young Designers Award 2017 dengan mengenepikan lebih 30 penyertaan lain.

BOOQEF adalah hasil reka cipta pelajar tahun tiga Pusat Pengajian Seni (PPS) Universiti Sains Malaysia (USM), Nur E’zzati Mohamad yang diinspirasikan daripada permainan tradisional masyarakat Melayu yang begitu popular di pantai timur.

Bermodalkan RM250 hasil reka cipta Nur Ezzati ini telah memenangi wang tunai RM2,500 yang dihadiahkan oleh MORE Design Group Berhad (MDGB) sebagai penganjur pertandingan. 

“PPS berasa bangga dengan pencapaian para pelajar terutamanya dalam kalangan pelajar rekabentuk produk atau Product Design dan saya ingin menyatakan bahawa PPS USM adalah yang pertama menawarkan program seni di Malaysia iaitu pada tahun 1970,” kata Dekan PPS, Dr. A.S. Hardy Shafii.

“Program sebegini dapat merapatkan lagi PPS dengan pihak industri selain dapat menguatkan lagi program akademik yang ditawarkan.

“Saya berharap program sebegini akan berterusan serta dapat lagi membuka peluang kepada para pelajar di USM secara amnya dan PPS khususnya,” tambah A.S. Hardy.

Nur Ezzati Mohamad School of the Arts

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MDGB, pertandingan ini diadakan mengikut negeri bagi mengetahui dan mendalami budaya setempat masyarakat di sesebuah negeri dan mengadaptasikannya dalam rekabentuk komersial.

MDGB adalah sebuah syarikat antarabangsa yang berfokus kepada rekabentuk komersial pelbagai jenis perabot termasuk set bilik tidur, set meja makan, sofa, almari dan juga pelbagai jenis rak.

Tempat kedua menawarkan wang tunai berjumlah RM1,500 telah dimenangi oleh Lim Yang Hock yang menghasilkan set meja berkonsepkan budaya Baba Nyonya yang menggunakan mangkuk tingkat beserta kerusi yang diperbuat daripada rotan.

Manakala tempat ketiga dimenangi oleh Muhammad Nasir Abu Bakar yang menghasilkan Bubu-Hex iaitu meja dan juga almari serba guna yang diinspirasikan daripada Bubu iaitu alat yang digunakan untuk menangkap ikan. Muhammad Nasir membawa pulang RM500 manakaka 8 pelajar lagi menerima hadiah saguhati berupa wang tunai berjumlah RM150.

Teks: Nor Rafizah Md Zain/Foto: Ebrahim Abdul Manan

  • Created on .
  • Hits: 1494

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024