USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MUHAMMAD SYUKRI SALLEH PENERIMA TOKOH MAULIDUR RASUL PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

DSC 4136 800x600

NIBONG TEBAL, 1 Disember 2017 – Profesor Dr. Muhammad Syukri Salleh dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pulau Pinang 1439H / 2017M.

Jawatankuasa Pemilihan Tokoh dan Anugerah Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pulau Pinang memilih Prof. Dr. Muhammad Syukri Salleh sebagai tokoh ini berdasarkan kepada pencapaian akademik dan sumbangan beliau kepada pembangunan Islam di negara ini.

Anak jati Terengganu yang berasal dari Besut ini cukup sinonim di Universiti Sains Malaysia (USM) dengan Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV). Beliau merupakan pengasas dan mantan Pengarah ISDEV serta peneroka bidang pengurusan pembangunan Islam yang aktif dengan pelbagai agenda pembangunan Islam, terutamanya menghubungkan pelbagai institusi luar dan dalam negara bersama USM memperjuangkan dunia ilmu pembangunan berteraskan Islam.

DSC 4145 800x600

Ketika ditemui selepas menerima anugerah, Prof. Dr. Muhammad Syukri Salleh, 63 tahun, melahirkan rasa bersyukur yang tidak terhingga kepada Allah S.W.T. di atas penerimaan anugerah ini.

“Pertama, saya menzahirkan rasa bersyukur kepada Allah S.W.T. kerana telah mendorong para penilai memilih saya menjadi Tokoh Maulidul Rasul peringkat Negeri Pulau Pinang pada tahun ini.

"Saya berdoa semoga anugerah ini bukan sahaja merupakan anugerah daripada manusia, tetapi juga daripada Allah SWT sendiri atas apa jua yang saya lakukan untuk memuliakan Islam, walaupun tidak seberapa.”

Tambahnya, beliau amat terharu kerana anugerah ini berkaitan dengan hari keputeraan junjungan besar Rasululllah S.A.W.

“Saya mengharapkan Rasulullah SAW menerima apa yang saya lakukan untuk Islam selama ini sebagai menyambung legasi perjuangan Baginda SAW, InshaAllah.”

“Saya juga gembira kerana anugerah ini tentunya merupakan anugerah bukan saja untuk saya, tetapi untuk semua yang terlibat dengan saya dalam usaha memuliakan Islam,” katanya.

DSC 4156 800x600

Jelasnya lagi, bermula daripada ibu bapa, isteri dan anak-anak, hinggalah kepada sahabat-sahabat di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), sahabat-sahabat di Universiti Sains Malaysia dan pucuk pimpinan Universiti Sains Malaysia (USM), semuanya bergerak bersamanya sebagai satu jemaah yang jitu untuk memuliakan Islam dan mencari keredhaan Allah S.W.T.

Pada masa yang sama beliau turut melahirkan rasa takut dengan anugerah ini jika membuatkannya tidak dapat mengawal perasaan sehingga menjadi hamba Allah S.W.T. yang ego, ujub, takabur, dan sombong.

“Saya memohon Allah S.W.T. melindungi saya daripada sifat-sifat sedemikian, dan tidak menjadikan anugerah ini sebagai musabab saya tidak dibenarkan masuk ke syurga. Sebaliknya saya berharap anugerah ini boleh saya jadikan alat untuk saya terus memuliakan Islam bersama dengan sahabat-sahabat saya di Universiti Sains Malaysia, agar saya mempunyai alasan yang lebih kuat untuk diredhai Allah S.W.T. dan dimasukkan ke syurga, InshaAllah.”

Muhammad Syukri Salleh yang telah berkahwin dengan Marzizah binti Darus dan dikurniakan 4 orang cahaya mata ini, mempunyai D.Phil dalam Pembangunan Berteraskan Islam dari Universiti Oxford. Beliau merupakan pakar dalam Pengurusan Pembangunan Islam, Ekonomi Islam, Ekonomi Politik Islam dan Kebangkitan Semula Islam.

Sepanjang pembabitan beliau dalam dunia akademik, Muhammad Syukri terlibat dalam 46 penyelidikan dan kerja perundingan yang dibiayai oleh kerajaan dll, dan turut menghasilkan 15 buah buku dan 293 tulisan tentang pembangunan berteraskan Islam dan yang bersangkutan dengannya dalam bentuk bab-bab buku suntingan (62 buah), makalah dalam jurnal-jurnal akademik tempatan dan antarabangsa (46 buah), kertas-kertas kerja di persidangan dalam dan luar negeri (85 buah), tulisan popular (80 buah), ulasan buku (13 buah), tulisan kreatif (7 buah), dan laporan-laporan penyelidikan (53 buah).

DSC 4107 800x600

Beliau juga turut dijemput menyampaikan sekitar 200 syarahan perdana dan akademik di dalam dan luar negara.Selain USM, beliau juga pernah menjadi Felo Tamu di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Scholar on Sabbatical di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Profesor Tamu di University of Jordan, Amman, Jordan, Advanced Development Management Program (ADMP), Sophia University, Tokyo, Universitas Medan Area (UMA), Medan, Indonesia, Universitas Muhammadiyyah Sumatera Utara (UMSU), Universitas Pembinaan Masyarakat Indonesia (UPMI), Universitas Airlangga (UNAIR), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Felo Penyelidik di Islamic Development Bank (IDB) dan Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS), dan Profesor Adjung di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) Negara Brunei Darussalam, College University Bestari (UCB) dan Asia e University, dan banyak lagi.

Beliau juga telah dilantik sebagai Pengasas/Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pendidikan Majlis Agama Islam & Adat Melayu Terengganu, Ahli Jawatankuasa Khas Pembangunan Institusi Pendidikan Majlis Agama Islam & Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Ahli Lembaga Pengarah Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB), Pulau Pinang, Malaysia, dan Ahli Lembaga Pengarah As-Sahabah Urus Zakat Sdn Bhd, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP). 

Majlis yang diadakan di Masjid Nurul Iman itu turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

 
 
  • Created on .
  • Hits: 2464

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024