USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

INOVASI PELAJAR USM: PRETZEL ENAK BERKHASIAT DARI DAUN BELALAI GAJAH

IMG 0235 800x600

USM, PULAU PINANG, 14 November 2017 – Siapa sangka pokok Daun Belalai Gajah atau nama saintifiknya ‘Clinacanthus nutans’ yang sering digunakan dalam perubatan tradisional terutamanya dalam pencegahan penyakit kanser kini mampu dijadikan sebagai hidangan snek ringkas yang berkhasiat.

Inovasi makanan bernutrisi tinggi itu adalah salah satu projek tahun akhir pelajar Teknologi Makanan dari Pusat Pengajian Teknologi Industri (PPTI) yang dipamerkan dalam Pameran Pembangunan Produk Makanan 2017 yang berpotensi memberi impak positif kepada masyarakat.

Salah seorang ahli kumpulan, Yeap Soon Ming, 23, berkata, produk ini dihasilkan setelah mereka mendapati pokok ini mudah didapati dan senang tumbuh khususnya di kawasan yang beriklim khatulistiwa seperti di negara ini.

“Pokok ini mempunyai banyak khasiat terutamanya mengandungi tahap anti-oksidan yang tinggi untuk membantu mengatasi sel-sel kanser dan mengekalkan sel-sel sihat dalam tubuh manusia,” katanya.

IMG 0229 800x600

Jelasnya lagi, produk yang dinamakan ‘Krautzel Belalai Gajah White Chocolate Coated Pretzel’ ini menggunakan 80 peratus bahan daripada daun belalai gajah ini yang telah dijadikan tepung dan jus sebelum dicampur bersama-sama adunan coklat putih sebagai penambah perisa.

“Campuran tepung dan jus daun belalai gajah ini kami satukan menjadi doh sebelum dicelur dalam air soda bikarbonat bagi membuang protein supaya ianya menjadi snek pretzel yang keras dan kenyal,” katanya.

Soon Ming berharap produk yang pertama kali dihasilkan oleh mereka ini dapat menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa kerana gabungan yang unik antara bahan semulajadi yang berkhasiat dijadikan snek makanan ringan yang berkhasiat.

IMG 0219 800x600 800x600j

Sejumlah lapan kumpulan dari para pelajar pengkhususan Teknologi Makanan mengambil bahagian dalam pameran ‘Food Product Development’ yang dirasmikan oleh Dekan PPTI, Profesor Dr. Azhar Mat Easa di sini hari ini.

Teks: Syuhada Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 2014

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024