USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENGERUSI LGU DILANTIK PENGERUSI LEMBAGA PEMEGANG AMANAH YAYASAN USM

EAM 0404 800x600

PULAU PINANG, 3 November 2017 – Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia (LGU USM) Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan USM yang baharu mulai tahun 2017.

“Saya yakin dengan pengalaman yang ada, beliau berupaya untuk membawa Yayasan USM ke satu lagi peringkat yang lebih tinggi,” kata Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail ketika berucap di Majlis Makan Malam Amal Yayasan USM 2017 baru-baru ini.

Zulkefli menggantikan Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur yang memegang jawatan tersebut sejak Yayasan USM ditubuhkan iaitu pada tahun 2014.

“Saya juga ingin mendedikasikan kejayaan Yayasan USM kepada usaha dan komitmen Tan Sri Datuk Mustafa Mansur, alumni USM tahun 1976 yang begitu instrumental dalam membawa Yayasan USM ke landasan yang betul,” tambah Naib Canselor yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan USM.

Menurut Naib Canselor lagi, misi penubuhan Yayasan USM adalah bagi menjana, merencanakan dan mengurus dana bagi menyokong dan membantu USM melaksanakan dan mencapai matlamat halatujunya.

“Maka dengan itu, 9 Tabung telah diwujudkan di bawah Yayasan USM iaitu Tabung Bakat (Biasiswa & Hadiah) khusus kepada pelajar, Tabung Penyelidikan, Tabung Akademik dan Pengantarabangsaan, Tabung Libatsama Komuniti dan Industri, Tabung APEX, Tabung Kursi, Tabung Bangunan dan Penyelenggaraan, Tabung Endowmen Islam dan Tabung Am,” jelasnya.

EAM 0392 800x600

Pada majlis yang sama, USM menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM638,000 daripada Estet Mohamed Hussain Yusuf (MHY) yang diwakili oleh Datuk Haji Mohamed Zain Mohamed Yusuf, adik arwah MHY dan juga sejumlah RM180,000.00 daripada Persatuan Kebajikan Anak Melayu Pulau Pinang di Wilayah Persekutuan dan Selangor (PEKENANG) yang diwakili Presidennya, Serajudin Ismail bagi menaja para pelajar yang kurang berkemampuan dalam menuntut ilmu di universiti.

EAM 0399 800x600

Asma yang mewakili seluruh warga USM mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang kepada Yayasan USM sejak tahun 2014 yang mana telah memberikan biasiswa penuh kepada lebih 80 orang pelajar Ijazah Tinggi dan Ijazah Sarjana Muda, sumbangan zakat kepada 500 orang pelajar serta bantuan pemberian makanan percuma kepada 200 orang pelajar miskin ‘bottom billion’ (B40) di bawah projek KAMPRI (Kami Prihatin) anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM. 

Turut berangkat ke majlis tersebut ialah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Canselor, Pro Canselor USM Tan Sri Dato’ Dr. M. Jegathesan, Pengarah Yayasan USM Profesor Dato’ Ir. Dr. Mahyuddin Ramli serta tetamu kenamaan dan pegawai utama Universiti.

Teks: Nor Rafizah Md Zain

  • Created on .
  • Hits: 1470

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024