USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DITOLAK ENAM KALI, NOORILHAM BUKTI KEMAMPUAN

PULAU PINANG, 31 Oktober 2017 – Setelah enam kali ditolak untuk melanjutkan pengajian di Universiti Awam (UA) kerana cacat penglihatan, Noorilham Ismail, 27, bukti kemampuannya dengan bergraduasi dalam bidang Sejarah di Universiti Sains Malaysia (USM) dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.55.

"Saya berbangga kini saya sudah bergelar siswazah dan sedang melanjutkan pelajaran di USM di peringkat sarjana dalam bidang yang sama dan fokus kepada Diplomatik terutamanya dasar Amerika Syarikat," tambah Noorilham yang ditemani ibunya, Salimah Kassim, 63, dan bapa saudaranya.

Noorilham tidak patah semangat apabila permohanan kemasukan ke UA ditolak, namun beliau menjadikan itu sebagai cabaran dan motivasi kepadanya untuk berusaha untuk membuktikan kemampuannya setanding pelajar yang sempurna malah lebih baik lagi.

Noorilham yang berasal dari Felda Lok Heng, Johor, buta sejak berumur 8 tahun akibat demam panas dan pada bulan Ramadhan yang lalu beliau diuji lagi apabila ayahnya Ismail Jaafar, 63, meninggal dunia akibat angin ahmar.

"Saya hanya buta mata tetapi saya berkata pada diri saya yang saya tidak buta; saya normal, cuma saya tidak dapat melihat, itulah yang saya pegang dari dulu sehingga sekarang," katanya lagi apabila ditanya tentang prinsip atau falsafah hidupnya.

Noorilham dibantu rakan-rakan sekelas untuk membacakan kepadanya buku atau pembentangan yang diberikan oleh para pensyarah supaya dapat memahami dengan lebih baik lagi.

Dia juga banyak memberikan motivasi kepada generasi muda supaya sentiasa bermotivasi dan bersyukur dalam menjalankan kehidupan seharian walaupun diri kita mempunyai kekurangan tapi janganlah jadikan kekurangan itu sebagai penghalang untuk kita terus berjaya.

Berbekalkan semangat dan keazaman yang tinggi dalam diri, dia membuktikan yang stereotaip mengenai orang buta tidak boleh berjaya adalah tidak benar.

Noorilham adalah seorang pelajar yang sangat aktif dalam pelbagai persatuan dan menerima biasiswa dari Sime Darby semasa belajar di peringkat ijazah dan biasiswa dari USM di peringkat sarjana.

Teks: Siti Najihah Mustafa (pelajar intern MPRC)/Suntingan: Nor Rafizah Md. Zain

  • Created on .
  • Hits: 942

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024