USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PU TAHA ANTARA PENERIMA IJAZAH DOKTOR FALSAFAH USM

DSC 9304 800x600

PULAU PINANG, 28 Oktober 2017 – Dalam kesibukan bergelar pendakwah selebriti, Taha Mohd Omar atau lebih mesra dikenali sebagai PU Taha, 30, akhirnya berjaya menamatkan pengajiannya dalam bidang Pengurusan Pembangunan Islam di peringkat Doktor Falsafah di Universiti Sains Malaysia (USM).

Taha mula mendaki populariti selepas menyertai program realiti islamik yang mencari pendakwah berkebolehan dalam pelbagai bidang atau 'versatile’. Taha yang berasal daripada Pulau Pinang mula mendaftar sebagai pelajar Ph.D pada tahun 2013 dan berkat kegigihan dan sokongan daripada keluarga dan sahabat handai, beliau berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh 3 tahun 6 bulan.

"Saya mempunyai hasrat untuk menjadi salah seorang ahli akademik di USM jika dikurniakan rezeki," kata Taha yang ditemani isteri dan anaknya ketika menerima ijazah pada sidang pertama Upacara Konvokesyen ke-55 USM.

"Saya perlu meluaskan pengalaman dalam penghasilan jurnal kerana penulisan jurnal juga menjadi salah satu kriteria yang diperlihatkan untuk menjadi seorang pendidik di Universiti Awam seperti USM," katanya.

Taha kini masih mempunyai kontrak bersama salah sebuah stesen televisyen swasta sebagai seorang penyampai radio serta masih menerima jemputan daripada pihak luar sebagai pendakwah.

“Jangan terlalu tenggelam dalam dunia glamer dan teruskan mengejar ilmu pengetahuan kerana dalam pengajian bagi memperoleh doktor falsafah, kita (pelajar) hanya diberi lima tahun untuk menghabiskan pengajian dan peluang ini hanya sekali, manakala populariti boleh diperolehi pada bila-bila masa,” kata Taha.

“Tujuan saya meneruskan pengajian hingga ke peringkat ini adalah untuk menepis dakwaan bahawa kelahiran para pendakwah atau dikenali sebagai ustaz diperkatakan hangat sebagai ‘ustaz ekspres’," tambah Taha.

"Saya ingin membuktikan kepada masyarakat bahawa ilmu pengetahuan yang diperolehi ini diiktiraf hingga peringkat Doktor Falsafah dan bukan hanya sembang kosong.

PU taha merupakan antara 527 graduan USM yang menerima anugerah Doktor Falsafah pada Upacara konvokesyen ke-55 USM yang berlangsung selama 9 hari bermula 28 Oktober hingga 2 November.

Teks: Nur Fatini Badrul Hisham (pelajar intern MPRC)/Suntingan:Nor Rafizah Md Zain

  • Created on .
  • Hits: 12642

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024