USM BANTU TINGKAT KEMAHIRAN BAHASA INGGERIS PELAJAR SEKOLAH BALIK PULAU
USM, PULAU PINANG, 19 Oktober 2017 - Sekumpulan pelajar dari SMK Seri Balik Pulau bertuah kerana mendapat peluang menyertai Program English Camp yang bertemakan “Life after SPM – Dream Big, Prepare Early and Start with an Excellent English!” yang telah diadakan baru-baru ini di Universiti Sains Malaysia (USM).
Program ini melibatkan seramai 40 orang pelajar tingkatan 4 dan 6 dari sekolah tersebut.
Salah seorang Fasilitator program, Dr. Paramjit Singh Jamir Singh melihat program dan projek sebegini amat perlu diadakan kerana ianya dapat meningkatkan kefahaman pelajar sekolah untuk mahir dalam Bahasa Inggeris sebelum mereka menghadapi peperiksaan-peperiksaan besar.
Projek ini diketuai oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan, Siswazah dan Jaringan) Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK), Profesor Madya Dr. Saidatulakmal Mohd.
Beliau merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM kerana telah menaja program ini dan program sebegini perlu diteruskan pada masa-masa akan datang kerana ilmu yang dipindahkan dapat memberi manfaat kepada pelajar terutamanya pelajar sekolah luar bandar.
Rata-rata pelajar yang menghadiri English Camp ini sangat teruja dan mereka amat menyukai program ini kerana ianya memberi peluang kepada mereka untuk mempertingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di samping meningkatkan keyakinan mereka untuk berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris.
Program ini turut mendapat kerjasama yang baik dari Jabatan Pendidikan Negeri dan SMK Seri Balik Pulau.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Dr. Paramjit Singh Jamir Singh
- Created on .
- Hits: 2028