USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

Awas Racun Bernyawa

Diterbitkan: Ahad, 8 Oktober 2017, Berita Semasa – mSTAR

http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2017/10/08/obor-obor/
 
GEORGE TOWN: Dua spesies obor-obor yang boleh mengancam nyawa kini membiak di dalam laut di sekitar Pulau Pinang.

Sengatan haiwan itu boleh menyebabkan sindrom Irukandji termasuk tekanan darah tinggi dan sakit belakang melampau, loya, muntah, kekejangan, kesukaran bernafas serta kegagalan jantung.

Walaupun tidak berbahaya seperti obor-obor kotak atau Chironex fleckeri di luar pantai Australia yang berupaya membunuh manusia dalam tempoh tiga minit, haiwan itu boleh meragut nyawa kanak-kanak termasuk golongan dewasa, kata pakar biologi marin, Sim Yee Kwang.

Beliau berkata populasi dua spesies itu yang dikenali sebagai Chirop­soides buitendijki dan Morbakka sp di Pulau Pinang boleh ditemui dalam lingkungan dua kilometer persegi dari laut dan 400 meter dari kawasan pantai.

Yee Kwang yang juga seorang saintis di Pusat Kajian Samudera dan Pantai (Cemacs), Universiti Sains Malaysia (USM) sudah lama memantau kawasan pantai di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah, Tanjung Tokong dan Pantai Bersih di Butterworth setiap dua minggu sejak Julai lalu untuk menangkap obor-obor.

Obor-obor kotak terbesar pernah ditangkapnya ditemui pada jarak 200 meter dari kawasan Pantai Bersih, Butterworth, berukuran 18 sentimeter.

Pengarah Cemacs, Prof Datuk Dr Aileen Tan berkata obor-obor kotak bukan spesies yang membiak di Pulau Pinang.

"Ini adalah spesies invasif. Kemungkinan besar, larva mereka telah dibawa ke perairan kita dalam pemberat kapal kargo," katanya.

Dr Aileen berkata, keadaan cuaca tidak menentu yang membawa kepada perubahan suhu dan kemasinan laut boleh mencetuskan pembiakan obor-obor di sekitar Pulau Pinang dan juga sepanjang Selat Melaka.

Katanya, amat penting untuk membangunkan mekanisme laporan mangsa yang terkena sengatan obor-obor di hospital tidak lama lagi.

"Kita perlu mengesan kes sindorm Irukandji di hospital untuk menyelesaikan masalah dan memantau pembiakan obor-obor kotak," kata Dr Aileen.

Jelasnya, lima tahun lalu, beliau telah menemubual seorang penternak ikan yang disengat obor-obor ketika membersihkan sangkar ikannya di laut terbuka.

"Dia beritahu kami bahawa dalam tempoh lima minit, dia berdepan kesukaran bernafas dan dimasukkan ke wad selama beberapa hari.

"Kami mengesyaki ia ada kaitan dengan sindrom Irukandji tetapi tidak ada data untuk mengesahkannya," kata Dr Aileen.

Pada Februari lalu, seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang berenang di Teluk Bahang turut disengat seekor obor-obor dan dilaporkan koma selama tiga hari.

Baca lebih lanjut di http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2017/10/08/obor-obor/#DH3x3LuOyoz2rAAc.99

  • Created on .
  • Hits: 1145

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024