USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SIRI SYARAHAN UMUM PELANTIKAN PROFESOR: PERKONGSIAN DUA BIDANG ILMU DARI AHLI AKADEMIK PPIK USM

USM, PULAU PINANG, 30 September 2017 – Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK), Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini telah mengadakan satu sesi syarahan umum sempena pelantikan Profesor dua staf akademiknya.

Dua orang Profesor yang memberi syarahan berkaitan bidang masing-masing pada hari itu adalah Profesor Dr. Suriati Ghazali dengan tajuk syarahannya ‘Transformasi Wanita Malaysia: Suatu Perspektif Geografi Budaya’ manakala Profesor Dr. Jelani Harun pula memberikan syarahannya bertajuk ‘Karya Agung Dan Politik Kenegaraan Melayu’.

Syarahan Profesor Dr. Suriati Ghazali berkisar tentang kajian beliau berkaitan kesan penglibatan wanita di dalam bidang pekerjaan dalam mencari sumber pendapatan.

“Bilangan wanita berpendidikan tinggi juga semakin ramai, terutamanya di dalam bidang pekerjaan formal, sektor pengeluaran dan perkhidmatan.  Perubahan dari segi sosioekonomi tersebut telah membawa kepada perubahan budaya dalam kehidupan wanita,” katanya.

Syarahan Profesor Dr. Jelani Harun pula berkisarkan kajian beliau terhadap manuskrip lama yang mempunyai nilai yang sangat tinggi dan manuskrip ini ada tersimpan di beberapa tempat di luar negara seperti England, Jerman dan Rusia.  Kajian yang dilakukan adalah sangat teknikal dan berguna sebagai warisan Melayu kepada seluruh alam Melayu itu sendiri.

Menurut beliau lagi, kajian ini masih lagi dilakukan dengan meluas dan kini anak muda telah membuka mata untuk mendalami kajian seperti ini. 

“Saya menyeru agar pelajar yang berminat supaya berani menyahut cabaran kerana masih terdapat manuskrip lama yang banyak di luar sana yang belum lagi dikaji,” katanya.

Turut hadir pada hari syarahan tersebut adalah ahli Lembaga Gabenor Universiti (LGU), Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal dan Orang Besar Jajahan Hulu Perak iaitu YBhg. Toh Muda Orang Kaya-Kaya Seri Adika Raja Shahbandar Muda, Dato’ Meor Roslan bin Dato’ Seri Haji Meor Ahmad Rashidi, Dekan-dekan dan wakil jabatan.

Teks: Siti Najihah Mustafa / Suntingan: Mazlan Hanafi Basharudin

  • Created on .
  • Hits: 1005

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024