NAIB CANSELOR USM PENERIMA PERTAMA IJAZAH KEHORMAT KUFS BUKAN WARGA JEPUN
KYOTO, 27 September 2017 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Asma Ismail telah terpilih menerima anugerah Ijazah Kehormat (Doktor Persuratan) dari Kyoto University of Foreign Studies (KUFS) di Jepun baru-baru ini.
Ini menjadikan Asma penerima pertama ijazah kehormat KUFS bukan warga Jepun.
Dalam ucapannya sewaktu menerima anugerah tersebut, Asma mengucapkan terima kasih kepada KUFS kerana sudi memberi penganugerahan itu kepadanya di atas sumbangannya di dalam bidang sastera, walaupun beliau terlatih dalam bidang sains.
Beliau amat berbesar hati kerana berkemampuan memberi penekanan secara seimbang di antara bidang sastera dan sains, juga di antara aspek keilmuan dan nilai.
Setiap universiti perlu mempunyai rasa kesatuan dan kebersamaan dalam mendepani ketidaktentuan di masa hadapan. Ketidaktentuan tersebut boleh berbentuk cabaran yang membawa gangguan, manakala amalan dan nilai semasa seperti kesamarataan dan nilai moral akan berhadapan dengan tekanan dari pelbagai pihak," ujar beliau.
Asma memberi contoh KUFS yang merupakan ahli majlis Asia-Pacific University-Community Engagement Network (APUCEN) dan penubuhan Pusat Kebudayaan Jepun USM-KUFS di USM pada tahun 2016.
"Usaha tersebut akan menuju ke arah mewujudkan persefahaman dan pelaksanaan usahasama, yang mana akan terhasil kesepakatan dan hubungan melalui interaksi sosio-budaya dan bahasa," kata beliau.
Tambah Asma lagi, melalui rasa kesatuan, ia akan memudahkan proses menumpukan ke arah matlamat yang sama dan mencari penyelesaian demi kebaikan secara keseluruhannya. Dengan adanya saling pergantungan and perhubungan di masa hadapan, masyarakat di seluruh dunia perlu meneliti dan menyusun semula cara hidup, cara bekerja dan cara mereka berinteraksi.
"Setiap universiti akan diminta supaya lebih fleksibel dan mampu mengubahsuai institusi mereka agar kekal relevan di dalam masyarakat, kerana kewujudan pelbagai 'gangguan' akan merubah tanggapan masyarakat terhadap sistem pendidikan, manfaatnya dan cara penyampaiannya di masa hadapan."
"Setiap universiti perlu lebih tangkas dan mampu bekerjasama bagi memenuhi permintaan dan keperluan terhadap pendidikan, di samping memberi penekanan yang sama terhadap keamanan sejagat dan kewujudan rangkaian," tambahnya lagi.
Asma mengakhiri ucapannya dengan menekankan keperluan agar sistem pendidikan diteliti semula dan direkabentuk bagi mendidik dan membangunkan generasi masa hadapan yang seimbang, baik dari segi ilmu yang dipelajari serta nilai-nilai yang dimiliki.
"Graduan masa hadapan perlu memiliki unsur-unsur ilmu dan nilai di dalam diri mereka apabila menjadi sumber tenaga kerja negara di masa hadapan. Apabila unsur-unsur tersebut sudah difahami, masyarakat akan lebih mudah melaksanakan perubahan yang lestari di dalam persekitaran mereka."
Asma menerima anugerah tersebut dari Canselor KUFS yang juga Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti, Dr. Yoshikazu Morita, yang terdahulu telah menyampaikan ucapan alu-aluan.
Presiden KUFS, Dr. Takeshi Matsuda telah diberi penghormatan untuk memperkenalkan Asma sebagai penerima ijazah kehormat, dan dalam ucapan ringkasnya, menyebutkan bahawa penganugerahan itu adalah sebagai menghargai segala usaha bermakna Asma ke arah keamanan sejagat, melalui persefahaman di antara Malaysia dan Jepun dari segi inisiatif pertukaran bidang akademik dan budaya, di samping meluaskan jaringan komuniti antara universiti serantau selaku Presiden APUCEN.
Turut hadir adalah isteri kepada Canselor KUFS, Puan Toyoko Morita; Timbalan Presiden Hal-Ehwal Antarabangsa KUFS, Professor Toshiki Kumagai; ahli lembaga KUFS, para pegawai utama fakulti dan pegawai-pegawai kanan.
Delegasi USM pula terdiri dari suami kepada Asma, Professor Dato’ Dr. Ahmad Zakaria; Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Professor Dr. Abdul Rahman Mohamed; Pengarah Jaringan Masyarakat USM, Tuan Syed Yusoff Syed Kechik; Pengarah Eksekutif APUCEN, Professor Dato’ Dr. Aileen Tan Shau Hwai dan pegawai-pegawai utama universiti.
Terjemahan: Mazlan Hanafi Basharudin
- Created on .
- Hits: 1120