USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENUTUP KARNIVAL CITRAWARNA 2015 DI SAMBUT MERIAH

IMG 9075 1

KUBANG KERIAN, 18 April 2015 – ‘Karnival Citrawarna 2015’ melabuhkan tirai secara rasmi dengan majlis penutupan yang disempurnakan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Dan Jaringan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Madya Dr Shaharum Shamsudin.

Karnival berlangsung selama tiga hari bermula 16 hingga 18 April 2015 anjuran Persatuan Sains Kesihatan (PSK), PPSK.

IMG 9081 1

Shaharum di dalam ucapannya berkata, program ini menjadi satu wadah kepada masyarakat Kampus Kesihatan yang turut mendekatkan lagi dengan penduduk setempat melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan demi mewujudkan jalinan dan hubungan rapat dengan masyarakat.

“Semoga program sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan kerana konsep yang diterapkan dalam program ini mampu mengeratkan hubungan pelbagai kaum yang membolehkan mempelajari budaya dan adat resam masing-masing,” kata Shaharum.

Tambahnya lagi, Malaysia merupakan sebuah negara yang sangat unik kerana rakyatnya berbilang kaum dapat hidup bersama dan mampu mengekalkan keharmonian, kesepaduan serta saling menghormati.

IMG 9079 1

Yang Dipertua PSK, Muhammad Fahmi Mohd Sabri pula menjelaskan, karnival ini diadakan sebagai salah satu aktiviti persatuan yang memfokuskan kepada ilmu dan kebudayaan dengan mengadakan pelbagai acara seperti forum kebudayaan yang menggabungkan pelajar Melayu, Cina dan India untuk berbicara tentang indahnya perpaduan dan hubungan antara kaum selain daripada pameran kesihatan, pameran buku, derma darah serta gerai-gerai jualan.

IMG 9094 1

IMG 9129 1

“Selain daripada itu, karnival ini juga memberi pendedahan kepada pelajar tentang perniagaan dan keusahawanan yang secara tidak langsung membantu mereka mempelajari aspek-aspek perniagaan seperti yang diajar melalui Kursus Asas Keusahawanan,” tambahnya lagi.

IMG 9164 1

Kemuncak sambutan diisi dengan pelbagai persembahan kebudayaan oleh pelajar-pelajar Kampus Kesihatan antaranya gendang Cina, wushu, pertunjukan silat cekak dan tarian klasik India. - Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid & Anawiah Abdul Aziz/Foto: Wan Ahmad Nizamuddin Wan Ahmad Sukri

  • Created on .
  • Hits: 1217

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024