USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TIGA PENSYARAH USM DIIKTIRAF SEBAGAI HIGHLY CITED RESEARCHER OLEH CLARIVATE ANALYTICS

mrsa 2017

 

PUTRAJAYA, 5 Oktober 2017 – Tiga pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) diiktiraf sebagai Highly Cited Researcher iaitu pengiktirafan tertinggi Malaysia’s Research Star Award (MRSA) 2017 yang dianugerahkan oleh Clarivate Analytics. Mereka yang menerima anugerah ini adalah pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Profesor Dr. Abdul Latif Ahmad dan Profesor Dr. Bassim H. Hameed serta pensyarah Pusat Pengajian Teknologi Industri, Profesor Dr. Abd Karim Alias.

Mereka adalah antara enam penerima pengiktirafan tersebut yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Dato' Seri Idris Jusoh di Malaysia's Research Star Award (MRSA) dan Pemberian Taraf CREAM 2017 di sini hari ini.

DSC 6415 800x600

Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, enam penyelidik ini dipilih kerana telah menerbitkan jumlah artikel yang paling banyak dan menerima sitasi tinggi dalam kalangan 1% teratas di dunia dalam bidang masing-masing. Ketiga-tiga mereka juga adalah  antara yang paling berpengaruh daripada keseluruhan penyelidik di dunia.

“Saya amat berbesar hati dan bangga kerana menerima satu lagi penghargaan atas pencapaian saya. Jika dulu anugerah ini dinamakan Malaysia’s Rising Star Award dan saya telah menerima anugerah ini sejak 2014, kini buat pertama kali diperkenalkan Malaysia’s Research Star Award dan Alhamdulillah saya salah seorang daripada penerima.

DSC 6355 800x600

“Penyelidikan adalah passion saya dan ini mendorong saya untuk terus menjalankan penyelidikan serta fokus dalam bidang-bidang kepakaran saya,” kata Bassim.

Menurut Abd Karim pula, pengiktirafan ini adalah satu pendorong kepada saya untuk menjadi lebih baik serta menjadi pendorong dan contoh kepada penyelidik-penyelidik muda amnya di Malaysia dan khususnya di USM.

“Saya ingin merakamkan terima kasih kepada semua mentor saya yang ikhlas membimbing saya dalam penyelidikan tanpa apa syarat sekalipun,” tambah Abd Karim yang juga Pengarah Pusat Pembangunan Kecemerlangan Akademik dan Pembangunan Pelajar (CDAE).

DSC 6361 800x600

“Saya juga merasa beruntung kerana mempunyai mentor yang sentiasa memberikan galakan dan dorongan dalam menjalankan penyelidikan yang memberikan impak yang tinggi dan menjadi rujukan bukan sahaja di dalam negara malah di peringkat antarabangsa,” kata Latif yang bersetuju dengan pandangan Abd Karim mengenai konsep mentor.

“Jadilah seorang penyelidik yang kreatif serta mempunyai bidang kepakaran yang berbeza dengan penyelidik lain supaya kita tidak perlu bersaing dalam memberikan impak yang baik bukan sahaja kepada penyelidikan malah kepada negara dan dunia.

Pada majlis yang sama, turut menerima anugerah MRSA adalah pensyarah PP Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar@Mustapha iaitu bagi kategori Economic Impact Researcher dan pensyarah PP Sains Kemasyarakatan, Profesor Dr. Lean Hooi Hooi bagi kategori Frontier Researcher.

 

CREAM 2017

Selain MRSA sebanyak 5 jurnal yang diterbitkan oleh USM menerima Taraf Cream 2017 iaitu Bulletin of the Malaysian Mathematical Science Society bagi kategori Jurnal Berprestasi Tinggi Diindeks dalam Web of Science, Jurnal Tropical Life Sciences Research, Journal of Physical Science, Journal of Construction in Developing Countries bagi kategori Jurnal Berprestasi Tinggi Diindeks dalam Scopus manakala Jurnal Kemanusiaan: The Asian Journal of Humanities bagi kategori Jurnal Berpotensi CREAM.

Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 7227

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024