USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TERUS KOMITED BANTU GOLONGAN TERKEBAWAH

PADANG TERAP, 4 Oktober 2017 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus komited dalam memperkasakan bakat masa hadapan dan menghakupayakan golongan terkebawah demi mentransformasikan kesejahteraan sosio-ekonomi.

USM melalui Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN) menganjurkan Program Transformasi Komuniti Siam Daerah Padang Terap, Kedah.

Pemangku Naib Canselor USM, Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, program ini dapat memacukan institut pendidikan tinggi di Malaysia dalam melaksanakan strategi matlamat pembangunan lestari bagi memastikan akses pendidikan yang keterangkuman dan berkualiti.

“Mentransformasi paradigma tentang kepentingan melanjutkan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi adalah penting dalam menarik perhatian dan minat pelajar-pelajar ini,” katanya.

Tambahnya, hasrat pihak USM khususnya IPPTN memberi pendedahan dan maklumat kepada pelajar-pelajar ini melalui aktiviti seumpama ini mampu membantu mereka membuat keputusan yang tepat dalam memilih laluan kerjaya mereka.

“Saya berharap program ini dapat menyumbang kepada pembangunan dasar dan inisiatif kerajaan dalam mentransformasikan sosio-ekonomi bagi ‘bottom billion’ terutama melibatkan komuniti minoriti di Malaysia,” jelas Rahman.

Program ini mendapat kerjasama daripada Pejabat Pendidikan Daerah Padang Terap dan Kolej Han Chiang.

Sementara itu, Ketua Projek merangkap Timbalan Pengarah IPPTN USM, Profesor Madya Dr. Munir Shuib berkata program yang diadakan selama sehari itu bermatlamatkan untuk memberi penghakupayaan dan menyediakan panduan kepada pelajar sekolah dari komuniti Siam Malaysia dalam merangka strategi bagi melanjutkan pengajian ke peringkat tertiari.

“Aktiviti ini melibatkan pelajar sekolah menengah tingkatan empat hingga enam dari enam buah sekolah di Daerah Padang Terap manakala dalam fasa kedua nanti, merupakan peringkat pemantauan dan penilaian bagi mengukur keberkesanan pelaksanaan program,” tambahnya lagi.

Perasmian majlis penutupan ini disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Negeri Kedah mewakili Menteri Pendidikan Malaysia, Datin Paduka Dato’ Hajah Azuyah Hassan.

Teks: Syuhada Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 943

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024