KAJIAN USM DI PULAU SONGSONG POTENSI JADI TAMAN LAUT NEGARA
YAN, KEDAH, 28 September 2017 – Kajian Universiti Sains Malaysia (USM) terhadap pulau terpencil, Pulau Songsong di Yan, Kedah mendapati pulau tersebut berpotensi tinggi menjadi antara koleksi pulau Taman Laut di negara ini.
Ini berdasarkan kajian USM yang dibuat mendapati kepelbagaian biodiversiti marin dan diversiti terumbu karang di persekitaran pulau ini amat tinggi untuk diketengah oleh Jabatan Taman Laut Negara.
Ketua Penyelidik USM di Pulau Songsong, Profesor Dr. Zulfigar Yasin berkata Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) USM kini sedang dalam proses mengumpul data terperinci bagi mengenalpasti taburan dan status semua jenis haiwan akuatik dan terumbu karang di kawasan pulau ini.
“Di Malaysia, dari sejumlah 35 buah gugusan pulau yang dijadikan Taman Laut, 34 daripadanya berada di Laut China Selatan dan satu sahaja di Selat Melaka iaitu Pulau Payar, Langkawi.
Justeru, tambah Zulfigar, dengan kajian yang mendalam oleh CEMACS dan tajaan oleh Jabatan Taman Laut, diharapkan dapat menambah bilangan Taman Laut di kawasan Selat Melaka memandangkan kawasan pulau ini amat sesuai untuk pembiakan benih ikan termasuk sumber perikanan dapat dikawal.
Katanya lagi, penyelidikan ini mengambil selama satu minggu mengambil kira 4 komponen utama iaitu bahagian kawasan darat pulau, bahagian laut, bahagian jerai dan bahagian satelit yang akan memberi gambaran keseluruhannya.
“CEMACS dipertanggungjawab untuk kajian di bahagian laut, hutan dan satelit berdasarkan kepakaran integrasi ketiga-tiga komponen tersebut yang dimilikinya.”
“Dalam masa 6 bulan dari sekarang kita akan melihat penemuan terperinci dan langkah-langkah yang sepatutnya diambil bertujuan menyimpan khazanah berharga yang terdapat di kawasan ini.”
Penyelidikan yang dinamakan “Expedition Highland to Ocean (H2O) Songsong-Jerai 2017 melibatkan jumlah peserta seramai 26 orang (darat) dan 30 orang (laut) yang terdiri dalam kalangan penyelidik profesional, kumpulan penyelam profesional dan pelajar ijazah tinggi USM.
Ekspedisi ini turut mendapat kerjasama Jabatan Perhutanan, Jabatan Perhilitan, Malaysian Nature Society, Botanical Garden of Penang dan beberapa lagi buah agensi.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 3161