USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM, AADK ANJUR PROGRAM MOTIVASI DEKATI BEKAS PENGGUNA DADAH

00702239 1D36 4D24 92F1 67182A136B99

TELUK BAHANG, 25 September 2017 – Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK) USM, Dr. Paramjit Singh Jamir Singh dengan kerjasama Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) serta Agensi Antidadah Kebangsaan Pulau Pinang telah menganjurkan Program Sokongan Sosial Bagi Ahli Keluarga Pengguna Dadah di Cure & Care Service Centre (CCSC), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Teluk Bahang, Pulau Pinang yang melibatkan penyertaan daripada pengguna dadah, ahli keluarga pengguna dadah, staf USM dan AADK seramai 50 orang baru-baru ini.

Menurutnya, Program sehari ini dijalankan dalam modul berbentuk perkongsian pengalaman daripada bekas pengguna dadah yang telah pulih, ceramah berkaitan motivasi, perbincangan kumpulan focus dan aktiviti dalam kumpulan, dan program ini ditaja sepenuhnya oleh BJIM USM di bawah geran libatsama universiti komuniti (Adhoc) yang diketuai oleh beliau.

“Program sokongan sosial ini memberi pendedahan kepada ahli keluarga pengguna dadah dan pengguna dadah tentang cara menangani stigma dan diskriminasi daripada masyarakat dan program seumpama ini dilihat dapat mengurangkan tekanan serta meningkatkan keyakinan golongan ini untuk berhadapan dengan komuniti sekitar mereka,” jelas beliau.

Tambahnya, golongan ini perlu didekati, dibantu dan diberi perhatian supaya mereka sedar bahawa mereka juga merupakan sebahagian daripada komuniti, dihargai dan disayangi justeru secara tidak langsung dapat memberi kesan positif terhadap kesihatan mental, kefungsian sosial dan kesejahteraan hidup mereka.

A9A66E88 330B 4578 9B6A 5DA32DFE4B09

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak BJIM USM kerana telah menaja program ini dan program sebegini perlu diteruskan pada masa-masa akan datang kerana ilmu yang dipindahkan dapat memberi manfaat kepada golongan ini,” ujarnya.

Program ini dirasmikan oleh Penyelaras CCSC, AADK, Teluk Bahang, Mohd Ashraf Abdul Latif dan telah mendapat sokongan yang padu daripada semua pihak yang terlibat.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 1625

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024