MASJID AL-MALIK KHALID TERIMA PENARAFAN 4 BINTANG
USM, PULAU PINANG, 22 September 2017 - Masjid Al-Malik Khalid Universiti Sains Malaysia (USM) memperolehi 4 bintang iaitu pencapaian Sangat Baik melalui Penarafan Masjid Kariah Negeri Pulau Pinang Tahun 2017.
Pengarah Pusat Islam, Profesor Madya Dr. Sofri Yahya bersyukur dengan kejayaan ini serta berkat doa daripada semua pihak yang terlibat.
“Saya dan rakan-rakan staf Pusat Islam merakamkan rasa kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah swt kerana dengan limpahan rahmatNya telah mengizinkan Masjid Al-Malik Khalid dianugerahkan Penarafan Empat Bintang oleh panel penilai yang terdiri daripada pegawai bebas yang dilantik oleh Jabatan Agama Islam Pulau Pinang.
“Masjid Al-Malik Khalid mewakili Daerah Timur Laut dan penilaian yang dibuat pada bulan Julai 2017 yang lalu adalah berasaskan beberapa kriteria dan masjid kami mendapat 5 Bintang untuk 2 kriteria iaitu Pengurusan Pengimarahan dan Pengurusan Kewangan, 4 Bintang untuk Pengurusan Pentadbiran dan 3 Bintang untuk Kemudahan Bilik Air dan Wudhuk,” ujarnya.
Jelas lanjutnya, penarafan ini merupakan suntikan semangat kami untuk memperbaiki dan menambahbaik baik segala kekurangan yang sekarang ini dan bersedia untuk dinilai semula untuk penarafan semula tahun 2019 bagi mendapat 5 Bintang.
“Sasaran kami mendapat penarafan 5 Bintang dan menjadi masjid terbaik peringkat Negeri Pulau Pinang dan ini boleh dicapai jika kami dapat menambahbaik pentadbiran seperti penyediaan minit dan laporan termasuk penyediaan dokumen serta untuk Kemudahan Bilik Air dan Wudhuk, kami akan menambahbaik kemudahan yang sedia ada dan menjadikan ia lebih mesra pelanggan,” katanya.
Tambahnya lagi, pada penilaian tahun 2017 ini tiada masjid yang mendapat 5 Bintang.
Sofri turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak terutama pengurusan tertinggi universiti dan jabatan-jabatan yang sentiasa memberi kerjasama dan bantuan sokongan yang padu demi pencapaian ini.
Majlis penyampaian penarafan berlangsung di Masjid Negeri Pulau Pinang dan dihadiri Sofri dan Pegawai Pusat Islam USM.
Masjid Al-Malik Khalid ini pada mulanya merupakan sebuah Pusat Islam yang dikenali dengan nama Balai Islam dan dikelola di bawah Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP). Rancangan untuk membina Pusat Islam di Kampus Induk Pulau Pinang mula dibincangkan pada akhir 1972 berlanjutan sehingga 1973.
Kompleks Balai Islam dirasmikan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddn Al Mu'adzam Shah pada 2 September 1983 dan dinaikkan taraf sebagai Pusat Islam, Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang.
Nama Al-Malik Khalid diperolehi menerusi Raja al-Malik Khalid yang merupakan pemerintah kerajaan Arab Saudi ke-3 yang turut menyumbangkan sebahagian besar kos pembiayaan pembinaan masjid ini di penghujung tahun 70-an hingga ianya siap pada awal 80-an.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 1792