USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SEJARAH PENTING DALAM PEMBANGUNAN LESTARI NEGARA

EAM 8854 800x600

USM, PULAU PINANG, 18 September 2017 – Bahagian Sejarah, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Persidangan Nasional Sejarah dan Sejarawan Malaysia 2017 bertemakan ‘Memperkasa Sejarah Nasional dalam Melestarikan Pembangunan Negara’.

Program ini dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, YB Datuk Sr. Hj. Muhammad Farid Hj. Saad dan dalam ucapan perasmian beliau berkata program ini amat sesuai diadakan bersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan serta sebagai menutup tirai sambutan Hari Malaysia pada 16 September yang lalu.

"Sejarah amat penting dalam pembangunan dan keharmonian negara untuk membangunkan masyarakat yang lestari di masa hadapan," jelas Farid.

Kata beliau lagi, program ini sehaluan dengan seruan kerajaan untuk menghapuskan kemiskinan dan merapatkan jurang ketidaksaksamaan, sosial dan ekonomi ke arah mewujudkan sejarah yang lestari, dan juga selari dengan agenda yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mana Malaysia jelas berhadapan dengan perkara ini dan ia merupakan satu usaha ke arah membangunkan pendidikan berkualiti.

Dekan PPIK, Profesor Dr. Narimah Samat berkata, sejarah adalah satu bidang kemanusiaan yang sangat penting dan walaupun manusia telah mengalami sesuatu peristiwa di masa lampau, namun kita sedang menempuh satu zaman yang mengalami perubahan yang amat pantas, iaitu zaman revolusi industri keempat.

EAM 8863 800x600

"Mengorak langkah ke hadapan bukan bermakna kita melupakan zaman silam dan sejarah merupakan ilmu yang bergerak ke semua tempat, arah dan keadaan, seterusnya menuju kecemerlangan bangsa dan negara," kata Narimah.

Sementara itu, Pengarah program Dr. Muhamad Hasrul Zakariah berkata, persidangan ini telah menetapkan beberapa objektif penting dan persidangan ini juga menekankan matlamat untuk menilai kembali perkembangan dunia penyelidikan dan isu-isu pensejarahan tanah air terutamanya persediaan berhadapan cabaran revolusi pemodenan masa kini.

Program ini berlangsung selama dua hari berturut-turut (14-15 September), melibatkan pembentang-pembentang kertas kerja dalam bidang sejarah.

Turut hadir sama dalam program ini ialah Profesor Emeritus Dr. Ahmat Adam dan Profesor Dato’ Dr. Abu Talib Ahmad sebagai pengucaputama program, wakil daripada Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPN) dan wakil daripada Persatuan Sejarah Malaysia (PSM).

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi (Pelajar intern MPRC)/Suntingan: Mazlan Hanafi Basharudin

  • Created on .
  • Hits: 1894

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024