USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MINAT TEKNOLOGI NUKLEAR "TERBANGKAN" SHAIFUL KE AGENSI TENAGA ATOM ANTARABANGSA VIENNA

VIENNA, AUSTRIA, 20 September 2017 - Minat yang mendalam terhadap teknologi nuklear persekitaran telah mendorong pelajar tahun akhir Teknologi Persekitaran, Pusat Pengajian Teknologi Industri (PPTI), Shaiful Yusuff untuk memohon untuk menjalani latihan industri di Agensi Nuklear Malaysia.

Menurut Shaiful, beliau telah mendapat nasihat daripada pensyarah beliau dari PPTI, Dr. Muhammad Izzuddin Syakir Ishak bahawa peluang untuk mendalami teknologi isotop persekitaran adalah lebih luas untuk diteroka di agensi tersebut.

"Pendedahan selama 6 bulan di bawah seliaan pegawai penyelidik, Roslanzairi Mostapa dalam pembangunan teknologi ini telah memberi inspirasi kepada saya untuk mendalami teknik ini di lapangan.

"Penemuan awal tentang proses methanogenesis melalui kaedah analisis karbon-13 telah menjadi batu loncatan kepada saya untuk dijemput oleh pihak International Atomic Energy Agency (IAEA) sebagai pemerhati dalam mesyuarat teknikal "The 3 Research Coordination Meeting on Application and Development of Isotope Techniques to Evaluate Human Impacts on Water Balance and Nutrient Dynamics of Large River Basins" di Vienna bermula 11 hingga 15 September 2017.

Semasa di ibu pejabat IAEA, Shaiful berpeluang melawat makmal isotop hidrologi untuk melihat sendiri teknologi baru penyelidikan nuklear persekitaran dalam konteks global dan kini dia secara tidak langsung juga bekerjasama dengan penyelidik dari Belgium, Dr. David Soto Arrojo untuk membangunkan sistem penyediaan sampel karbon-13.

Pembangunan protokol ini membolehkan sampel lokal dianalisis di USM, justeru menjadikan analisis karbon-13 lebih kos efektif dan projek ini adalah di bawah seliaan Dr. M.I. Syakir iaitu Ketua Penyelidik kajian aplikasi isotop stabil persekitaran untuk penilaian impak alam sekitar di lembangan sungai-sungai di Malaysia. Untuk rekod, projek ini mendapat pembiayaan pihak IAEA selama 4 tahun.

Tambah Shaiful lagi, pendedahan di peringkat antarabangsa menjadikan beliau lebih berkeyakinan tidak hanya dalam aspek akademik dan penyelidikan tetapi aspek yang tidak ternilai pada beliau iaitu peningkatan estim diri yang sukar untuk diungkapkan.

Pendedahan ini juga telah meningkatkan iltizam beliau untuk meneroka penyelidikan isotop persekitaran di peringkat yang lebih tinggi.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 1302

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024