USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MGTF USM CIPTA REKOD ANJUR PROGRAM PERDANA BERMALAM DI MUZIUM SERENTAK SELURUH MALAYSIA

USM, PULAU PINANG, 18 September 2017 – Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah Universiti Sains Malaysia (MFTG USM) turut serta menganjurkan Program Perdana Bermalam di Muzium 2017 yang diterajui oleh Jabatan Muzium Malaysia telah mencipta nama dalam Malaysia Book Of Records (MBOR).

Pengarah MGTF USM, Zolkurnian Hassan berkata, sebanyak 32 buah muzium mengambil bahagian termasuk juga muzium USM yang diadakan secara serentak di seluruh negara pada 15-16 September 2017.

“Penganjuran program ini adalah bertujuan untuk melihat, menghayati, mempelajari dan memahami erti kemerdekaan yang sebenar menerusi aktiviti dan bahan pameran yang sedia ada di muzium-muzium yang mengambil bahagian,” katanya.

Tambah Zolkurnian lagi, dianggarkan sejumlah 2,050 orang pelajar sekolah mengambil bahagian dalam program ini di seluruh Malaysia, menjadikannya jumlah penyertaan yang paling ramai dan bakal tercatat dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai penyertaan yang paling tinggi, yang melibatkan 126 buah sekolah yang mengambil bahagian seluruh Malaysia.

“Pelbagai aktiviti diadakan untuk para peserta yang merangkumi penghayatan erti kemerdekaan dan jati diri bangsa melalui aktiviti berpasukan yang diadakan sepanjang dua hari dan satu malam program dan aktiviti yang diadakan,” jelasnya lagi.

Sementara itu, pelajar yang mengikuti program tersebut, Fakhrullah Iizzuddin, 14, berkata, ini merupakan pengalaman pertamanya bermalam di muzium dan berasa teruja untuk mengikuti aktiviti-aktiviti yang dijalankan selama dua hari ini.

Perkara yang sama turut dikongsi rakannya Afifah Najwa, 13, yang turut berasa gembira dapat bermalam di muzium kerana jarang program sebegini diadakan.

“Sebelum ini program yang bermalam selalunya diadakan di sekolah, namun kali ini berbeza kerana ianya dijalankan di muzium,” katanya lagi.

Program Bermalam Di Muzium bertemakan ‘Muzium Kita, Tamadun Kita’ yang diadakan di MGTF USM disertai oleh seramai 50 orang pelajar sekolah menengah dalam daerah Kulim Bandar Baharu, Kedah.

Teks: Syuhada Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 1260

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024