PELAJAR AUSTRALIA TERUJA PENGALAMAN ESKAVASI
LENGGONG, PERAK, 15 September 2017 - Seramai 25 orang pelajar dari Nerang State High School, Brisbane, Australia begitu teruja dengan pengalaman eskavasi di Tapak Warisan Dunia Lenggong di Perak.
Kumpulan ini adalah kumpulan antarabangsa yang pertama mengikuti pakej penuh Arkeopelancongan yang ditawarkan oleh Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM) sejak dilancarkan pada bulan Mei yang lalu.
Menurut Pengarah PPAG, Profesor Dato' Dr. Mohd Mokhtar Saidin, PPAG menerima banyak permohonan dari dalam dan luar negara untuk mengikuti pakej ini.
"Program sebegini bukan sahaja bagi menjana kelestarian kewangan namun dalam jangka masa panjang dapat menarik lebih ramai pelajar terutama dari luar negara untuk mengikuti pengajian di USM terutama dalam bidang Arkeopelancongan," kata Mohd Mokhtar ketika ditemui semasa memberikan taklimat kepada para peserta di sini hari ini.
Salah seorang peserta, Viktoria Vasileva, 16, sangat teruja dengan aktiviti ekskavasi ini kerana beliau dapat merasai sendiri pengalaman jika menjumpai artifak yang tertanam lebih 10,000 tahun sebelum masihi.
Rakannya, Jessie, 16, sangat gembira kerana sama-sama dapat merasai pengalaman berharga ini dan berhasrat menyambung pengajian di USM kelak.
Keesokan harinya, para peserta akan mengikuti lawatan ke tapak arkeologi Bukit Bunuh, Kota Tampan dan Gua Harimau.
Teks: Nor Rafizah Md. Zain
- Created on .
- Hits: 1151