TN50: AKADEMIA USM KONGSI INPUT
PERLIS, 15 September 2017 – Akademia Universiti Sains Malaysia (USM) berkongsi pandangan bagi menyumbang input ke arah menjayakan program Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Mengetuai ahli akademik USM seramai 20 orang ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) Prof. Dato’ Dr. Adnan Hussein yang mewakili Naib Canselor USM.
TN50 adalah satu inisiatif pembangunan negara yang merangkumi tahun 2020 hingga 2050, dipacu oleh matlamat dan sasaran yang jelas selama 30 tahun, yang akan dibangunkan melalui proses perundingan dalam fasa persediaan dari tahun 2017 hingga 2019.
Diskusi interaktif TN50 di antara akademia dengan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Idris Jusoh itu dibuat dalam suasana santai di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) hari ini.
Antara perkongsian menarik yang mencuri tumpuan adalah perbincangan berkenaan hala tuju bidang pendidikan tinggi 30 tahun akan datang dan bagaimana negara membuat persediaan ke arah itu.
Ia turut menyentuh soal pembangunan sahsiah atau jati diri mahasiswa yang disifatkan sebagai antara intipati yang perlu ditangani dengan baik ke arah melahirkan individu yang holistik dan mempunyai 'roh' yang unggul yang bakal memacu masa hadapan negara.
Yang turut hadir ialah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir.
Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 1186