USM METERAI MOU DENGAN DUA UNIVERSITI TERKEMUKA INDONESIA
PULAU PINANG, 14 September 2017 – Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan usaha pertukaran dan peluasan ilmu melalui penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan dua buah universiti dari Indonesia, iaitu Universitas Sumatera Utara (USU) dan Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Palangka Raya baru-baru ini di Dewan Persidangan, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK), USM.
Menurut Dekan PPIK USM, Profesor Dr. Narimah Samat yang mewakili Naib Canselor USM, memorandum ini merupakan antara usaha PPIK dalam melaksanakan program penyebaran dan pertukaran ilmu, penyelidikan dan inovasi serta penerbitan ilmiah bersama rakan-rakan di rantau Asia Tenggara termasuk Indonesia, yang mana bersesuaian dengan matlamat USM sendiri ke arah menjadi sebuah universiti penyelidikan bertaraf global.
Wakil Rektor USU, Dr. Budi Agustono pula menyatakan pengharapan beliau agar dengan termeterainya MoU ini, aktiviti penyelidikan secara usahasama akan dapat dilaksanakan dengan lebih produktif di masa hadapan.
Wakil Rektor IAIN Palangka Raya, Dr. H. Abdul Qodir pula dalam ucapannya, berkongsi hasrat beliau agar dengan wujudnya MoU sebegini, hubungan antara kedua-dua institusi ini akan menjadi lebih akrab pada masa akan datang.
Turut diadakan ialah pelancaran sebuah penerbitan baharu yang dihasilkan bersama Kumpulan Tujahan Warisan Naratif Sakral dari PPIK, USM dan Fakultas Ilmu Sosial dan Ilmu Politik USU, hasil dari pembentangan yang diadakan pada 22-23 Mei 2017 di USU.
Teks: Siti Najihah Mustafa/Suntingan: Mazlan Hanafi Basharudin
- Created on .
- Hits: 1037