COMBI PUPUK KESEDARAN PELAJAR BAHARU TENTANG BAHAYA DENGGI
USM, PULAU PINANG, 8 September 2017 - Program Komunikasi untuk Perubahan Tingkah Laku (Communication for Behavioural Impact - COMBI 2017) anjuran Pusat Sejahtera Universiti Sains Malaysia (USM) mampu memberi kesedaran kepada pelajar baharu yang menghuni di Desasiswa USM tentang pentingnya penjagaan alam sekitar dalam membanteras nyamuk Aedes yang boleh menyebabkan demam denggi.
Pengarah Pusat Sejahtera USM merangkap penyelaras Program COMBI 2017, Dr. Normala Abdul Wahid berkata, program yang diadakan buat tahun keduanya ini merupakan salah satu inisiatif Pusat Sejahtera bersama-sama Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM dalam memberi kesedaran tentang bahayanya nyamuk Aedes dan pentingnya membasmi denggi.
"Untuk COMBI kali ini, beberapa aktiviti menarik telah dijalankan antaranya pembentangan oleh ketua blok dan tingkat setiap desasiswa tentang langkah-langkah kawalan nyamuk Aedes di desasiswa masing-masing, pertandingan mencipta poster dan logo, gotong-royong ‘Cari & Musnah’ tempat yang berpotensi untuk pembiakan nyamuk Aedes di kawasan desasiswa, kreativiti persembahan pentas dan kreativiti video," tambah Dr. Normala.
Jelasnya lagi, program COMBI ialah program Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dijalankan di seluruh negara bermatlamat untuk memberi kesedaran tentang pencegahan penyakit bawaan nyamuk Aedes ini.
"Saya harap program ini dapat memberi kesedaran kepada warga USM tentang bahaya demam denggi ini sekaligus dapat mengamalkan pencegahan pembiakan nyamuk Aedes di tempat kerja dan kawasan tempat tinggal mereka," katanya ketika ditemubual sempena program COMBI 2017 di sini, hari ini.
Seramai lebih 2,800 pelajar baharu telah mendaftar untuk mengikuti pengajian ijazah sarjana muda bagi Sidang Akademik 2017/2018 di Kampus Induk USM pada 3 September yang lalu.
Program COMBI ini ialah aktiviti wajib dalam Minggu Siswa Lestari untuk menyambut pelajar baharu dan melibatkan kesemua Desasiswa di Kampus Induk USM iaitu Desasiswa Cahaya Gemilang, Indah Kembara, Restu, Saujana dan Tekun dengan bantuan Pembimbing Pelajar Program Siswa Lestari (PPSL).
Teks: Syuhada Abd. Aziz
- Created on .
- Hits: 1740