SEDIA BERKORBAN MEMELIHARA KESUCIAN AGAMA DAN NEGARA
PULAU PINANG, 1 September 2017 – Menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia agar sedia berkorban di dalam diri termasuk harta, tenaga mahupun perasaan demi memelihara kesucian agama dan kemerdekaan negara.
Atas sebab itulah lahirnya kekuatan ummah dengan terbinanya kekuatan setiap individu melalui usaha menjadi insan yang lebih berilmu dan beragama.
Itu harapan Pengarah Pusat Islam, Profesor Madya Dr. Sofri Yahya agar melalui hikmah erti pengorbanan dapat menjadikan kita lebih berhemah dan bersyukur dalam pembangunan organisasi yang disayangi.
"Ibadah korban merupakan tanda syukur kita di atas pelbagai nikmat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. agar kita menjadi lebih peka menggunakan nikmat itu ke jalan yang diredhai-Nya," ucap beliau ketika mewakili Naib Canselor sebelum menunaikan solat sunat Aidil Adha di Masjid Al-Malik Khalid, Universiti Sains Malaysia.
Jelas beliau lagi, hikmah disyariatkan ibadat korban ini paling utama dapat menghapuskan sifat bakhil dan sombong sekaligus berupaya mengeluarkan harta membantu saudara sesama Islam.
Hampir 1,000 orang memenuhi masjid sejak awal pagi bagi menunaikan solat sunat Aidil Adha disusuli dengan ibadah korban.
Sejumlah 18 ekor lembu dan 8 ekor kambing dijadikan ibadah korban dan akikah peringkat USM kampus Induk pada tahun ini sempena sambutan Hari Raya Aidil Adha membabitkan lebih 100 orang sukarelawan bergotong-royong menyembelih, melapah, memasak dan mengagihkan daging kepada golongan fakir dan memerlukan.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 1307