USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM HASRAT TERUSKAN PROGRAM KECEKAPAN TENAGA SEKOLAH MENENGAH KE PERINGKAT NASIONAL

20882357 1518760801495632 713529718102464344 n

SUNGAI PETANI, 23 Ogos 2017 – Program Kecekapan Tenaga Sekolah Menengah Terpilih Negeri Kedah Bagi Pemantapan Budaya Cekap Tenaga Yang Lestari hasil kerjasama Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, telah mencatatkan penjimatan tenaga elektrik hampir 10 peratus sebulan.

Program yang julung kali diadakan di Kedah itu merupakan sebahagian daripada Program Pemindahan Ilmu (KTP) USM yang bermula sejak bulan Mac 2016, dan melibatkan 22 sekolah menengah kebangsaan (SMK) terpilih di Negeri Kedah untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti kesedaran yang berkaitan dengan kecekapan tenaga termasuk pengurangan bil elektrik sekolah.

20914442 1518736851498027 3181310961199810670 n

Pengurus Tugas CETREE USM, Profesor Madya Dr. Mohd Rodzi Ismail yang merupakan ketua projek berkata, impak yang positif daripada program ini membuatkan kita berhasrat untuk meneruskan program ini ke peringkat nasional.

“Daripada rekod penggunaan elektrik dan jumlah bil elektrik sekolah-sekolah yang mengambil bahagian sepanjang tempoh 18 bulan pelaksanaan program ini, ternyata hasilnya amat memberangsangkan dan kita berhasrat untuk meneruskan program ini untuk meliputi seluruh negara,” tegas beliau.

Tambahnya lagi, penjimatan penggunaan tenaga elektrik yang telah dilakukan itu tidak sama sekali mengganggu keselesaan pelajar atau menjejaskan aktiviti akademik di sekolah.

20914419 798740853640907 6009070527082481955 n

Dalam majlis untuk meraikan sekolah-sekolah yang berjaya yang diadakan baru-baru ini di sini, SMK Langgar, Alor Setar, terpilih sebagai pemenang utama program tersebut dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 berserta plak dan sijil penghargaan.

Dua lagi sekolah yang turut menerima anugerah ialah SMK Pekula Jaya, Sungai Petani dan SMK Sik, Sik, yang masing-masing memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 dan RM1,000, berserta plak dan sijil penghargaan.

Hadiah disampaikan oleh Exco Kerajaan Negeri Kedah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Negeri Kedah, YB Dato’ Mohd Tajudin Abdullah.

20953623 798740666974259 2499454052991183888 n

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah Sofaruddin Ismail serta para pegawai CETREE dan pegawai Pendidikan Negeri. 

Teks: Mohd Musa Adivijaya (pelajar intern MPRC)/Suntingan: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 1454

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024