INOVASI KTP USM JANA PENDAPATAN PENGUSAHA KELI DAN TINGKATKAN KUALITI KELI TERNAKAN
PULAU PINANG, 22 Ogos 2017 - Pusat Pemindahan Ilmu (KTP) Universiti Sains Malaysia (USM) telah melaksanakan projek untuk menginovasikan kualiti ikan keli dari segi pemberian makanan organik dengan menggunakan Azolla & Black Soldier Fly sebagai gantian dedak yang dilaksanakan sebelum ini.
Demikian kata Penolong Pendaftar Pusat Pemindahan Ilmu (KTP), USM, Muhamad Nur Hazim yang memberitahu bahawa Azolla dan Black Soldier Fly mengandungi protein dan lemak yang tinggi sekali gus meningkatkan kualiti ikan keli.
“Penggunaan Azolla dan Black Soldier Fly menjimatkan kos pemakanan bagi produk ikan keli kami dan pada waktu yang sama meningkatkan pendapatan kerana modal yang digunakan adalah minimum,” katanya ketika Upacara Kemuncak Pelancaran Rangka Tindakan Pembangunan 2016-2025 Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) baru-baru ini di Setia SPICE Convention Centre di sini, yang dihadiri Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
KTP USM juga ingin mengetengahkan produk ikan keli perusahaan Amran Bin Samsudin yang dihasilkan di kilang Kampong Tok Salam, Pedu, Kedah.
Pengeluaran Produk Hiliran Ikan Keli mempunyai tiga jenis pembungkusan iaitu Keli Goreng Cili, Keli Goreng Bersos Manis dan Keli Masak Lemak Cili Api yang bakal dikeluarkan ke seluruh Malaysia pada September ini.
Yang turut hadir di pameran Pusat Pemindahan Ilmu (KTP), Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan dan Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed.
Teks: Nur Umyrah Nabila (Pelajar intern MPRC)/Suntingan: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 2050