USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

66 PELATIH KOR SUKSIS USM TAMAT LATIHAN

WhatsApp Image 2017 08 21 at 11.00.18 PM

USM, PULAU PINANG, 21 Ogos 2017 - Seramai 66 pelatih Kor Sukarelawan Polis Siswa dan Siswi (Kor SUKSIS) Universiti Sains Malaysia (USM) telah diraikan dalam upacara Perbarisan Tamat Latihan dan Pentauliahan Kor SUKSIS Universiti Awam se-Malaysia kali ke-13 di Padang Kawad Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok baru-baru ini.

Daripada 66 pelatih ini, 33 adalah lelaki dan 33 lagi perempuan, dan telah ditauliahkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato' Sri Noor Rashid Ibrahim sendiri mewakili kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Berucap dalam majlis tersebut, Noor Rashid menyifatkan Kor SUKSIS sebagai generasi yang berpengetahuan dan mengikuti arus teknologi maklumat dan mengharapkan kor SUKSIS menjadi rakan kolaborasi PDRM dalam aspek pencegahan jenayah serta berganding bahu dalam menjayakan inisiatif terbaru PDRM untuk memperkasakan perkhidmatan kepada masyarakat.

Turut serta dalam program adalah SUPT/KS Dr. Nazarudin Zainun; DSP/KS Dr. Mohd Adi Firdaus Tan Abdullah; ASP/KS Zulkifli Che Hussin dan Pegawai Penyelaras Suksis USM, ASP Abdul Ghani Mohamad Ali manakala pelatih Kor Suksis USM Mohd Farez Ezwan Rosdizan telah menerima anugerah pelatih terbaik bagi USM.

Tahun ini, seramai 1,257 pelatih Kor SUKSIS dari 23 buah Universiti Awam seluruh Malaysia telah ditauliahkan.

Antara pelatih Kor SUKSIS dari Universiti Awam yang terlibat dalam upacara tamat latihan pada tahun ini adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan banyak lagi.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 1790

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024