USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ORIENTASI MENARA GADING DEDAH KEUNIKAN PEMBELAJARAN DI UNIVERSITI

EAM 6614 800x600

PULAU PINANG, 20 Ogos 2017 – Program Orientasi Menara Gading 2017 merupakan platform terbaik buat bakal mahasiswa yang akan menjejakkan kaki ke universiti tahun ini bagi memberi persediaan rapi menempuhi kehidupan di kampus kelak.

Program yang diadakan selama 3 hari (18-20 Ogos 2017) di Universiti Sains Malaysia (USM) anjuran Parlimen Balik Pulau dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Pulau Pinang membawa sejumlah 98 orang pelajar dari kawasan Parlimen Balik Pulau yang berjaya memasuki universiti tahun ini, bertujuan memberi persediaan fizikal dan mental sebelum menjejakkan kaki ke universiti masing-masing.

Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Balik Pulau, Pulau Pinang, Dato' Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata program yang bermula sejak tahun 2014 ini amat bermanfaat buat bakal mahasiswa kawasan Balik Pulau kerana mereka dibimbing oleh pelajar senior yang telah dan sedang melalui alam universiti.

EAM 6623 800x600

"Perlaksanaan program ini amat berfaedah untuk mereka manfaatkan melalui pelbagai aktiviti yang disediakan supaya tidak mengalami kejutan budaya apabila berada di universiti kelak," katanya ketika merasmikan majlis penutup Orientasi Menara Gading Parlimen Balik Pulau 2017 di USM hari ini.

Tambahnya lagi, beliau berharap bakal mahasiswa dapat memberi tumpuan sepenuhnya pada pelajaran sehingga berjaya memiliki segulung ijazah daripada terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral dan politik yang tidak berfaedah untuk diri sendiri.

"Tunaikan harapan ibu bapa, jangan hancurkan impian mereka yang telah bersusah payah membesarkan anda dan jadilah modal insan yang berguna sebagai pencetus masa depan negara."

EAM 6629 800x600

Yang turut hadir ialah Penggawa Desasiswa Bakti Permai Cahaya Gemilang yang juga pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan, Mohd Shafie Ariffin mewakili Naib Canselor USM, dan Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Pulau Pinang, Yah Mat Zain.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 1175

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024