USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

“TAK SABAR NAK MASUK USM!”

PULAU PINANG, 14 Ogos 2017 – Seramai 222 orang pelajar pra-universiti daripada Kolej MARA Kulim membuat lawatan sehari ke kampus induk Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini.

Lawatan yang dikelolakan oleh Bahagian Pengurusan Akademik, Jabatan Pendaftar USM ini merupakan sebahagian daripada pengisian di bawah Program Lestari Pelajar Pra-Universiti USM bagi sidang akademik 2017/2018.

Danial Syakirin Zainal, 18, salah seorang daripada pelajar pra-universiti USM berkata dia begitu teruja dan tidak salah untuk menyambung pelajarannya di USM. Dorongan daripada ibunya yang juga merupakan alumni USM membakar semangatnya untuk memilih USM sebagai pilihan utama.

“USM is the best! Saya tidak sabar hendak melanjutkan pelajaran di USM. Program yang ditawarkan di universiti ini menduduki dalam lingkungan kedudukan yang terbaik dalam QS World University Ranking bagi tahun 2017,” katanya apabila ditemuramah.

Nur Athirah Mohd Azman, 18, pula berkata dia memilih pra-universiti USM kerana tempoh masa pengajian yang singkat iaitu hanya setahun di samping suasana USM yang kondusif amat sesuai untuk pembelajaran. Gadis yang berasal dari Kuala Lumpur itu amat tertarik dengan prasarana USM yang begitu canggih dan juga kehijauan kampus USM.

“Dorongan daripada keluarga tercinta menambahkan lagi semangat saya untuk melanjutkan pelajaran di pra-universiti USM,” kata Muhammad Ikmal Ismail, 18, apabila ditemui. Anak jati Kuala Lumpur ini berkata status USM yang bertaraf APEX membuat dia rasakan USM ialah universiti yang terbaik untuk dia melanjutkan pelajarannya.

Pendapat yang sama diutarakan oleh Nurulain Afrizal, 18. Dia amat mengagumi USM atas kecanggihan fasilitinya dan suasana kampus yang kondusif.

Sebanyak enam buah bas digunakan untuk membawa para pelajar melawat sekitar kampus induk USM termasuk Perpustakaan Hamzah Sendut I dan Muzium & Galeri Tuanku Fauziah.

Pelajar juga berpeluang menyertai sesi Pengembangan Ilmu/Kembara Ilmu di beberapa PTJ seperti Pusat Pengajian Sains Kimia, Pusat Pengajian Sains Fizik, Pusat Pengajian Sains Farmasi, Pusat Pengajian Sains Biologi, Pusat Pengajian Sains Matematik, Pusat Pengajian Sains Komputer dan Pusat Pengajian Teknologi Industri.

Teks: Mohd Musa Adivijaya (Pelajar intern MPRC)/Suntingan: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 1409

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024