MOHAMED AZMI CIPTA NAMA DALAM MALAYSIA BOOK OF RECORDS
PULAU PINANG, 18 Ogos 2017 – Pensyarah bidang Farmasi Sosial dan Pentadbiran dari Pusat Pengajian Sains Farmasi (PPSF) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Mohamed Azmi Ahmad Hassali mencipta sejarah apabila namanya tercatat dalam Malaysia Book of Records (MBR) untuk ‘Most Number of Medical Research Journals Published’.
Antara jurnal-jurnal antarabangsa berprestij yang menerbitkan kajian beliau ialah American Journal of Pharmaceutical Education, Pharmacy Practice, Journal of Pharmaceutical Health Service Research, dan Journal of Pharmaceutical Policy and Practice.
“Saya ingin merakamkan tahniah kepada Mohamed Azmi yang telah menghasilkan lebih 420 artikel penyelidikan yang diterbitkan dalam lebih 50 buah jurnal akademik di peringkat antarabangsa sejak tahun 2004 sehingga dapat disenaraikan dalam MBR,” kata Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail di majlis pengiktirafan MBR bagi meraikan kejayaan Mohamed Azmi di sini hari ini.
“Saya amat berbangga kerana penyelidikan beliau memberikan penekanan khusus kepada negara-negara membangun terutama sekali di negara-negara Timur Tengah dan negara-negara Afrika atas semangat beliau untuk mengetengahkan isu-isu kesihatan dan farmasi yang seringkali dipinggirkan.
“Ini sejajar dengan misi USM sebagai Universiti APEX untuk memanfaatkan ilmu dan kepakaran ahli akademik dan penyelidiknya dalam mentransformasi keadaan hidup golongan masyarakat terkebawah serta mewarnai kehidupan mereka,” tambahnya.
Asma juga berharap agar kejayaan ini memberikan inspirasi kepada lebih ramai penyelidik dan saintis di negara ini terutamanya penyelidik muda untuk meningkatkan bukan sahaja jumlah penerbitan ilmiah, malah juga kualiti dan impak penerbitan masing-masing walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran seperti kekangan kewangan hasil pemotongan dana penyelidikan dan Revolusi Industri Keempat (4IR).
Sementara itu, Dekan PPSF, Profesor Dr. Habibah A. Wahab turut berkata, pengiktirafan ini adalah suatu kebanggaan kepada PPSF dan Universiti serta ianya akan menjadi perangsang kepada pensyarah-pensyarah lain untuk menghasilkan jurnal dan artikel penyelidikan yang berkualiti.
Mohamed Azmi, 43, mula berkhidmat sebagai pensyarah di USM sejak 2006 dan telah menyelia lebih 30 calon ijazah doktor falsafah dan ijazah sarjana dari 14 buah negara terutama bagi bidang Farmasi Sosial dan Amalan Farmasi.
Beliau melahirkan rasa syukur dengan pengiktirafan ini dan berkata para pelajar adalah sumber inspirasi kepadanya untuk lebih menulis artikel-artikel bagi manfaat masyarakat di dalam mahupun di luar negara.
Pengiktirafan tersebut disampaikan oleh wakil MBR, Siti Hajar Johor.
Turut hadir menyaksikan lakaran sejarah ini adalah Konsul Jeneral Kehormat Pakistan di Pulau Pinang, Dato’ Abdul Rafique Abdul Karim; Presiden PEMENANG Tan Sri Dato’ Seri Mohd Yussof Latif dan penaung-penaung Badan Bukan Kerajaan untuk komuniti di Pulau Pinang.
Teks: Nor Rafizah Md. Zain & Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 1990