USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM, JAS BEKERJASAMA ANJURKAN KURSUS KESEDARAN ALAM SEKITAR

EAM 5270 800x600

PULAU PINANG, Ogos 2017 - Pusat Pengajian Teknologi Industri (PPTI), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM serta Jabatan Alam Sekitar (JAS), Negeri Pulau Pinang baru-baru ini telah menganjurkan program “A Triple Helix Academia-Industry-Government: Environmental Awareness Training” yang memberikan pendedahan mengenai topik-topik berkaitan dengan alam sekitar kepada pihak industri di Pulau Pinang.

Program ini dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) USM, Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed, dan beliau berkata program ini menggabungkan tiga heliks utama iaitu universiti, kerajaan dan industri yang mana selaras dengan strategi yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).

“Tiga heliks ini menggambarkan hubungan antara universiti, kerajaan dan industri yang secara relatifnya saling bergantung dan bekerjasama antara satu sama lain untuk manfaat bersama.”

EAM 5276 800x600

Tambahnya lagi, pihak Universiti mempunyai pelbagai kepakaran dalam pelbagai bidang yang boleh digunakan oleh industri dalam membantu mencari penyelesaian atau menambah baik keadaan semasa.

“Hasrat kami adalah supaya ilmu yang disampaikan di universiti, sama ada di peringkat pengajaran atau penyelidikan, dapat dimanfaatkan oleh pihak industri dan komuniti. Semoga kerjasama ini dapat diteruskan lagi ke peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya.

Seramai 30 orang peserta dari organisasi dari pelbagai latar belakang industri di sekitar Pulau Pinang menyertai program ini. Mereka berpeluang menimba ilmu dari ceramah yang disampaikan oleh tiga penceramah jemputan mengikut kepakaran dalam bidang masing-masing.

EAM 5280 800x600

Program sehari ini bermatlamat untuk berkongsi pengetahuan tentang kepentingan kesedaran alam sekitar sekaligus dapat mempromosikan dan mengukuhkan jaringan kerjasama antara pihak universiti, industri dan jabatan kerajaan.

Selain pameran hasil penyelidikan, turut diadakan ialah sesi lawatan ke makmal-makmal di PPTI yang menawarkan pelbagai jenis perkhidmatan analisis.

Yang turut hadir Dekan PPTI, Profesor Dr. Azhar Mat Easa; Timbalan-timbalan Dekan PPTI dan Penolong Pengarah, Jabatan Alam Sekitar Negeri Pulau Pinang, Suffian Julmohamad.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi (Pelajar intern MPRC)/Suntingan: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 1203

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024