USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MUZAMMIL SUKARELAWAN OKU PERTAMA SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017

IMG 1281

PULAU PINANG, 15 Ogos 2017 - Pensyarah Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohamad Muzammil Mohamad Noor telah membuka mata ramai pihak kerana telah terlibat secara langsung sebagai salah seorang sukarelawan OKU bagi temasya sukan terbesar Asia Tenggara, Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang akan berlangsung pada bulan ini dan menjadi 'Wau Factor' bagi temasya ini.

Lebih manis lagi, beliau merupakan satu-satunya sukarelawan OKU berkerusi roda yang bertugas dalam bidang profesional dan mempunyai lulusan PhD.

Menurutnya, beliau membuat permohonan sebagai sukarelawan sehari selepas YB Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin membuat pengumuman mengenai perkara ini dan beliau terus mendaftar secara dalam talian.

"Pihak penganjur agak terkejut kerana daripada lebih 13,000 orang sukarelawan yang terpilih, terdapat seorang sukarelawan berkerusi roda yang pertama datang ke pusat latihan dan selepas berkursus selama 2 hari, pihak penganjur memindahkannya ke bahagian sekretariat yang terletak di Majlis Sukan Negara Bukit Jalil untuk mengendalikan bahagian Media bagi temasya ini.

"Kehadiran saya mendapat perhatian para wartawan media dan penyiaran termasuk Menteri terlibat sehingga beliau sudi datang berjumpa saya semasa perhimpunan Sukarelawan di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 6 Ogos 2017," jelas anak Kedah ini.

Tambahnya, penglibatan beliau dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 telah membuka mata banyak pihak termasuk pihak kementerian dan pihak urusetia tentang peranan golongan OKU negara dalam pelbagai cara dan sumbangan kepada pembangunan negara.

"Mungkin saya tidak terlibat dalam acara sukan negara sebagai atlet OKU negara, tetapi saya boleh memberi sumbangan dalam pelbagai bentuk dan tenaga serta idea kepada negara justeru hal ini dapat menterjemahkan semangat patriotik saya kepada Malaysia lebih-lebih lagi dalam bulan ini bulan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-60 tahun," ujarnya.

Tambahnya lagi, tugasan pertama beliau ialah menjalankan penggambaran dengan penerbit antarabangsa tentang suasana tugasan bersama empat lagi sukarelawan istimewa yang terpilih dan hasil penggambaran kami itu akan ditayangkan di skrin utama Stadium Bukit Jalil yang disaksikan oleh jutaan penonton dalam siaran langsung acara penutupan Sukan SEA pada 30 Ogos 2017.

Sesungguhnya Muzammil amat berbangga sebagai golongan OKU negara yang membantu menjayakan acara sukan terbesar di Asia Tenggara ini dan membawa nama USM, PPPJJ, Pulau Pinang, Kedah, Alumni USM dan Alumni UM serta golongan OKU negara.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 3768

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024