MiEH 2017: PLATFORM TERBAIK INTEGRASI ILMU DAN KEMAHIRAN BIDANG PENJAGAAN KESIHATAN
PULAU PINANG, 8 Ogos 2017 – Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini menjadi tuan rumah kepada Persidangan Malaysian Interdisciplinary Exchange in Healthcare (MiEH 2017) yang menghimpunkan lebih 150 peserta daripada pelbagai disiplin penjagaan kesihatan di Malaysia.
Peserta terdiri daripada pelajar-pelajar dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia, antaranya Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Monash University Malaysia (MUM), International Medical University (IMU) dan KPJ Healthcare University serta USM.
Berucap di majlis perasmian persidangan tersebut, Dekan Pusat Pengajian Sains Farmasi USM, Profesor Dr. Habibah A. Wahab berkata, persidangan ini menyediakan platform terbaik untuk menggalakkan integrasi ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam kalangan para pelajar daripada pelbagai disiplin penjagaan kesihatan.
“Selain itu, diharapkan para pelajar dapat memanfaatkan peluang yang ada untuk bertukar-tukar idea dan pengalaman serta berkongsi amalan penjagaan kesihatan terkini supaya mereka mengetahui perkembangan terkini dalam profesion penjagaan kesihatan yang amat mencabar ini,” katanya.
Habibah juga percaya melalui persidangan ini para pelajar mampu membina hubungan yang lebih baik dan kuat khususnya jalinan networking terutamanya dalam kalangan mereka dari universiti-universiti yang berlainan.
Sementara itu, Pengarah Projek MiEH 2017, Kee Zheng Xun dalam ucapan aluannya berkata, persidangan ini mampu menjadi platform kepada pelajar untuk mendapat kemahiran baru sebagai persediaan mereka memasuki alam pekerjaan sebenar.
“Sebagai bakal pemberi penjagaan kesihatan yang memberi impak kepada masyarakat kelak, selain pencapaian akademik yang cemerlang, kita semua perlu melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran insaniah yang tinggi seperti kemahiran komunikasi secara berkesan, kemahiran kepimpinan, kerja berpasukan, pemikiran kritis, daya kreativiti dan keusahawanan,” katanya lagi.
MiEH dianjurkan oleh Persatuan Sains Farmasi USM dan adalah satu-satunya persidangan peringkat kebangsaan anjuran pelajar universiti yang melibatkan penyertaan bakal doktor, ahli farmasi, doktor gigi, jururawat, dietician dan pakar nutrisi dalam kalangan pelajar.
Pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang persidangan ini berlangsung (4-9 Ogos) antaranya, Program Usahawan Muda, program libatsama komuniti, Gala Night, jerayawara dan Amazing Race.
Yang turut hadir dalam perasmian tersebut, Timbalan Dekan Penyelidikan, Pascasiswazah dan Jaringan Pusat Pengajian Sains Farmasi Profesor Madya Dr. Vikneswaran Murugaiyah dan penasihat MIEH iaitu Dr. Hadzliana Zainal dan Fatimatuzzahra’ Abd Aziz.
Teks: Mohd Musa Adivijaya (pelajar intern MPRC)/Suntingan: Tan Ewe Hoe/Foto: Ihsan dari Teoh Nien Xin
- Created on .
- Hits: 2335