USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM-TUT JALIN USAHASAMA PROGRAM PENDIDIKAN BERKEMBAR

IMG 0037a

BATU FERINGGHI, 9 Ogos 2017 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus mengorak langkah ke peringkat anatarabangsa dengan terjalinnya usahasama program pendidikan berkembar dengan Toyohashi University of Technology (TUT), Jepun.

Program pendidikan berkembar ini melibatkan kerjasama dua pihak di dalam bidang Kejuruteraan Siswazah dan Seni Bina bagi membina rangkaian di antara pelajar kedua-dua buah universiti.

IMG 0051

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata kerjasama ini bukan sahaja meningkatkan mutu pendidikan kedua-dua universiti malah USM dan TUT mampu bergerak bersama ke hadapan sebagai pelopor global dalam kolaboratif ekonomi kini.

“Adalah menjadi penghormatan buat USM untuk menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama TUT dengan setinggi harapan perjanjian kerjasama ini adalah langkah terbaik membina kekuatan rangkaian pendidikan tinggi buat kedua-dua buah universiti,” ucap beliau ketika menghadiri Persidangan Antarabangsa ‘Global Network For Innovative Technology (IGNITE) and Awam International Conference In Civil Engineering 2017 (IGNITE-AICCE’17)’ di Parkroyal Penang Resort di sini malam ini.

IMG 0080

Jelas Asma lagi dengan penglibatan kedua-dua universiti ini, program berkembar ini akan menjadi platform kepada pertukaran pelajar antara universiti, industri, tenaga pakar bagi berkongsi idea, memahami budaya dan langkah terbaik kedua-dua negara menangani isu global yang dihadapi.

Turut hadir adalah Presiden TUT,  Profesor Dr. Takashi Onishi; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USM, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah; Presiden Japan Society of Seismic Isolation (JSSI), Prof. Emeritus Dr. Akira Wada; Pengerusi Jawatankuasa Air, Akademi Sains Malaysia, Dr. Salmah Zakaria dan Pengerusi Umum IGNITE-AICCE 2017, Professor Dr. Taksiah A. Majid (USM) dan Professor Dr. Taiki Saito (TUT).

Pada majlis yang sama, Presiden TUT, Takashi turut mengharapkan program ini mampu melahirkan jurutera muda yang dapat memainkan peranan penting dalam pembangunan akademik membabitkan kedua-dua buah negara.

IMG 0129xc

IMG 0137hg

Antara lainnya di bawah kerjasama program berkembar ini adalah:

• Rakyat Malaysia dan pelajar asing yang berdaftar dengan USM akan berpeluang melanjutkan pendidikan Siswazah (M.Sc.) mereka di TUT pada tahun kedua selepas setahun pengajian di USM;

• Pelajar siswazah di USM akan berpeluang merasai pengalaman pembelajaran dan penyelidikan di TUT dan juga untuk membina rangkaian dengan pelajar Jepun dan pelajar antarabangsa yang belajar di TUT;

• Ahli akademik dari USM dan TUT berpeluang berkolaborasi dengan lebih dekat dalam penyeliaan bersama projek-projek penyelidikan pelajar, mempunyai penerbitan bersama dan aplikasi bersama geran penyelidikan.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 1670

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024