USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

WAKIL TUNGGAL ‘MALAYSIA BRAIN BEE CHALLENGE’ LAKAR KEMENANGAN DI WASHINGTON

ugio 800x600

KUBANG KERIAN, 7 Ogos 2017 – Malaysian BrainBee Challenge (MBBC) yang menjadi sebahagian daripada projek ‘Brainbee@Universiti Sains Malaysia (USM)’ berjaya melahirkan sebutir permata yang menyerlahkan kecemerlangan di persada antarabangsa.

Menggalas tanggungjawab sebagai wakil tunggal Malaysia ke pertandingan ‘International Brain Bee Championship’ (IBB) ternyata menjadi sejarah terindah buat Elwin Raj Vethamuthu, 17, apabila berjaya meraih tempat ketiga dalam pertandingan berprestij itu di Washington, Amerika Syarikat baru-baru ini.

Beliau yang juga juara dan penerima Anugerah Al-Biruni dalam pusingan akhir ‘Malaysian Brain Bee Challenge (MBBC) 2017’ di Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan pada bulan Mei yang lalu, telah mengharungi cabaran di peringkat dunia yang berlangsung pada 3 hingga 6 Ogos lalu.

jygju 800x600

Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur itu berkata, beliau sangat gembira dan bangga kerana menjadi peserta pertama mewakili Malaysia dan berjaya menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik peringkat dunia.

Beliau yang sangat meminati bidang neurosains menjadikan Brain Bee Challenge sebagai platform untuk mendalami bidang tersebut dan mencapai cita-cita menjadi pakar neuro pada masa hadapan.

“Kejayaan ini tidak akan dicapai tanpa sokongan daripada semua pihak dan saya mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa, kawan-kawan serta koordinator yang telah banyak membantu dalam membuat persediaan menghadapi pertandingan ini,” katanya.

Elwin berkata, antara ahli akademik negara yang banyak memberi tunjuk ajar kepadanya termasuk Pensyarah Kanan Jabatan Neurosains, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM, Profesor Madya Dr. Muzaimi Mustapha; Profesor Madya Dr. Hari Chandran  dari Universiti Malaya (UM) dan Dr. Hafizah Abdul Hamid dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

yugu 800x600 e

Seramai 25 orang peserta mewakili pelbagai negara termasuk Romania, Turki, Rusia dan Amerika Syarikat berentap dalam pertandingan yang memperlihatkan pengetahuan para peserta mengenai otak manusia diuji meliputi kebijaksanaan, emosi, ingatan, pendengaran serta kaitan penyakit seperti Alzheimer, Parkinson, Skizofrenia dan penyelidikan mengenai otak.

Malaysian BrainBee Challenge (MBBC) adalah sebahagian daripada Projek ‘Brainbee@USM’ yang diketuai oleh Muzaimi dengan sokongan Bahagian Jaringan Industri Dan Masyarakat (BJIM).

iohuf e

Program yang diperkenalkan pada tahun 2012 ini telah menarik minat beberapa universiti awam dan swasta lain untuk turut serta seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Taylor’s University.

Teks:  Lailatul Hafiza Abdul Rashid/Foto:  Ihsan Profesor Madya Dr. Muzaimi Mustapha

  • Created on .
  • Hits: 1531

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024