USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

AIDA SYAZWANI DINOBAT ANUGERAH PEGAWAI KADET SISPA TERBAIK PERINGKAT KEBANGSAAN

gfhjgfj 800x600

SINTOK, KEDAH, 6 Ogos 2017 – Berpegang teguh kepada prinsip amanah, bertanggungjawab dan komited  terhadap setiap tugasan yang diberi merupakan antara kunci utama kejayaan bagi salah seorang penerima Anugerah Pegawai Kadet SISPA Terbaik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Lt. Muda (PA) Aida Syazwani Ruslan bersempena Majlis Pentauliahan dan Perhimpunan Kor Siswa-Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-8 Tahun 2017 yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM) Kedah hari ini.

Pelajar pengkhususan Ijazah Sarjana Muda Sains Kesihatan (Pemakanan dan Nutrisi) di Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM, Kampus Kesihatan itu nyata gembira dengan penganugerahan tersebut selain menganggapnya sebagai pencapaian yang tidak disangka sepanjang tiga tahun menyertai badan beruniform berkenaan.

“Saya rasa sangat berbaloi apabila kemuncaknya pada hari ini, saya dianugerahkan Anugerah Pegawai Kadet SISPA Terbaik berkat dorongan dan doa ibu dan ayah serta percaya bahawa setiap usaha dan kerja keras yang dilakukan sekiranya bersungguh-sungguh pasti akan membuahkan hasil.

ghjkfkgu 800x600

“Sentiasa mendengar arahan jurulatih dan buat yang terbaik dalam setiap tugasan yang diberi merupakan rahsia kejayaan dalam menerima anugerah tersebut," tambah Aida.

“Perubahan positif berlaku apabila saya menyertai Kor SISPA ini antaranya saya lebih berkeyakinan apabila bercakap di khalayak, penampilan lebih kemas dan berani mengambil tanggungjawab untuk membantu selagi mana termampu.

“Selepas ini mungkin tanggungjawab lebih besar bakal digalas, namun saya komited untuk terus berbakti kepada masyarakat,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, dia berkata, menyertai Kor SISPA memerlukan komitmen yang tinggi dalam membahagikan masa antara kuliah dan kokurikulum namun kerana minat yang mendalam perkara tersebut dapat diatasi.

Majlis Pentauliahan dan Perhimpunan Kor SISPA Peringkat Kebangsaan Kali Ke-8 ini mentauliahkan sejumlah 660 Pegawai Kadet SISPA dan melibatkan seramai 15 orang pelajar daripada Kampus Kesihatan.

Teks: Mohamad Iqmal Mathlan/Foto: Zulkifli Zakaria

  • Created on .
  • Hits: 1539

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024