USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

AHLI AKADEMIK USM TERIMA DUA ANUGERAH DALAM ACCP KE-17

20374799 756207774562902 496207110132428181 n 800x600

YOGYAKARTA, 3 Ogos 2017 – Ahli akademik daripada Pusat Pengajian Sains Farmasi, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Syed Azhar Syed Sulaiman telah mengharumkan nama universiti dengan kejayaan beliau memenangi dua anugerah di Asian Conference on Clinical Pharmacy (ACCP) kali ke-17 yang diadakan di sini baru-baru ini.

Beliau telah terpilih menerima anugerah ‘Ahli Pendidik Farmasi Cemerlang’ dan anugerah ‘Presiden ACCP Paling Aktif’ dalam sumbangannya kepada pembangunan bidang Farmasi Klinikal di Asia. 

Azhar juga telah berkongsi dua pembentangan di persidangan tersebut, yang pertama bertajuk ‘Lelaki, Kemurungan, Osteoporosis dan Disfungsi Ereksi: Penilaian Kes-Kes dalam Senario Malaysia’ dalam sesi simposium dan kedua ‘Kemahiran Komunikasi dalam Amalan Farmasi’ sewaktu sesi bengkel yang dijalankan. 

Topik-topik  yang dibincangkan dalam persidangan tersebut merangkumi pelbagai tajuk seperti Farmasi Klinikal, Farmasi Sosial dan Pentadbiran, Pendidikan Farmasi, Pharmacoeconomics, Pharmacoepidemiology, Perubatan Alternatif dan Komplementari (CAM) serta tajuk lain yang berkaitan dengan farmasi.

Sehingga kini, ahli farmasi telah meningkatkan peranan mereka dalam bidang farmasi klinikal. Kurikulum farmasi telah ditambahbaik demi memenuhi permintaan daripada pihak pemegang taruh, di samping menambah bilangan ahli farmasi klinikal yang diperlukan di hospital.

20525818 756207937896219 8874539636434633398 n

Sementara itu, jumlah perkhidmatan farmasi klinikal dalam kalangan farmasi komuniti juga telah mulai meningkat, yang mana ia lebih berorientasikan konsep perkhidmatan mesra pelanggan dan penjagaan farmaseutikal, dan telah mula diterima pakai di negara-negara Asia.

Idea asal berkaitan ACCP terhasil dari sekumpulan ahli farmasi Asia, yang pada asalnya mencari satu persidangan yang sesuai yang mana mereka boleh bertukar dan berkongsi idea tentang konsep farmasi klinikal dan pada tahun 1996, wakil-wakil daripada China, Korea, Jepun dan Amerika Syarikat telah mengadakan pertemuan di Seoul, Korea untuk merancang tentang persidangan pertama. 

Terjemahan: Mohd Musa Adivijaya (pelajar intern MPRC)/Suntingan: Mazlan Hanafi Basharudin

  • Created on .
  • Hits: 1003

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024