BOLA SEPAK SUKUM: USM BENAM TUAN RUMAH MARA KE PERINGKAT AKHIR
TANJUNG MALIM, 3 Ogos 2017 – Skuad bola sepak Universiti Sains Malaysia (USM) mengesahkan tiket ke perlawanan akhir selepas menewaskan pasukan tuan rumah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) ke-42.
Skuad bimbingan Mohd Ali May layak selepas mengalahkan UPSI dengan jaringan 5-2 dalam perlawanan separuh akhir yang berlangsung di Stadium UPSI di sini, hari ini.
UPSI selaku tuan rumah menerima kejutan pada awal perlawanan lagi dengan gol yang dijaringkan oleh penjaring terbanyak pada kejohanan kali ini, Mohd Baser Napae.
Namun UPSI berjaya menyamakan gol perlawanan pada separuh masa pertama menjadikan USM dan UPSI terikat 1-1.
Dalam separuh masa kedua, tindakan pemain pertahanan UPSI yang menanduk bola ke gawang sendiri menghadiahkan USM dengan satu ‘gol percuma’. USM berjaya menjaringkan 3 gol lagi sebelum UPSI mendapat satu gol lagi melalui sepakan penalti.
USM menamatkan kempen kelayakan dengan mengungguli kumpulan C dengan 7 mata selepas tiga perlawanan peringkat kumpulan dengan menang dua perlawanan ke atas Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaya (UM) serta seri dengan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM).
Pengurus pasukan, Profesor Dr Abdul Razak Ibrahim berkata, USM yang menghadapi pelbagai rintangan semasa persediaan skuad apabila pemain utama yang mengalami kecederaan tidak dapat turun ke padang, namun ianya bukanlah satu penghalang untuk skuad ini untuk terus berusaha.
“Skuad USM telah mencapai sasaran untuk mara ke peringkat akhir dan jika kami menang pada malam ini merupakan satu kemenangan besar kepada skuad USM selepas dua tahun tidak menyertai kejohanan SUKUM,” tambahnya.
USM akan bertemu dengan pasukan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di peringkat akhir pada malam ini.
Teks: Syuhada Abd. Aziz
- Created on .
- Hits: 1250