USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

HOSPITAL MESRA IBADAH TERUS DIPERKASAKAN

hmi1

KOTA BHARU, 1 Ogos 2017 - Konsep Hospital Mesra Ibadah (HMI) terus diperkasakan melalui pembentangan beberapa resolusi dalam Konvensyen Peringkat Kebangsaan kali ke-4 yang berlangsung selama dua hari berakhir 31 Julai di sini baru baru ini.

Matlamat HMI adalah untuk mencapai kesepaduan komprehensif bagi hospital mengamalkan kecemerlangan perkhidmatan dan memberi fokus kepada kesejahteraan pelanggan melalui penerapan nilai-nilai Islam kepada pekerja, pesakit dan waris pesakit.

Menurut Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, konvensyen ini merupakan platform terbaik untuk mengutarakan, membincangkan seterusnya merumuskan resolusi khusus bagi setiap permasalahan dan isu-isu yang timbul.

hmi2

"Mesra ibadah tidak terhad hanya kepada menyediakan kemudahan kepada pesakit menunaikan ibadah tetapi ia perlu dilihat dalam skop yang lebih luas merangkumi cabaran masa kini dan perbezaan agama," katanya dalam sidang media selepas Perasmian Konvensyen HMI.

Asma berkata, beberapa kertas kerja berkaitan isu berkenaan turut dibentang antaranya 'Hala Tuju HMI di Hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)', 'HMI Sebagai Platform Hospital Patuh Syariah', 'Hala Tuju Penjagaan Spiritual di Hospital' dan banyak lagi.

"Penganjuran HMI kali ini dijayakan melalui kerjasama erat antara Universiti Sains Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan KKM," jelasnya lagi.

hmi3

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Pengarah JAKIM, Tan Sri Dato' Haji Othman Mustapha, Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan KKM, Datuk Dr. Azman Abu Bakar, Pengarah Hospital Sungai Buloh merangkap Pengerusi bersama HMI, Dato' Dr Khalid Ibrahim dan Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Ahmad Sukari Halim.

Teks: Mohd Hafiz Yaacob / Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood

  • Created on .
  • Hits: 1035

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024