USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SIVAMURUGAN PANDIAN DIIKTIRAF IKON PATRIOTIK HARI KEBANGSAAN 2017

20638490 10154536975152000 1592563530911633275 n

USM, PULAU PINANG, 1 Ogos 2017 - Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Sivamurugan Pandian telah dilantik sebagai Ikon Patriotik sempena Hari Kebangsaan Malaysia kali ke-60 tahun 2017.

Pengiktirafan ini telah diberikan oleh Jabatan Penerangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Mengulas berkaitan pelantikannya ini, Sivamurugan menganggapnya sebagai satu pengiktirafan yang besar bagi dirinya yang tak pernah mengeluh menggunakan caranya yang tersendiri dalam memperjuangkan karya-karya penulisan buku dan pelbagai artikelnya yang menjurus kepada patriotisme untuk negara Malaysia tercinta ini.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Penerangan Malaysia, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia atas pengiktirafan dan penghormatan lantikan 'Ikon Patriotik Bulan Kebangsaan 2017'.

"Ini merupakan penghargaan buat kali-2 yang tidak terbayang oleh saya dan terima kasih Dato’ Ibrahim Abdul Rahman, Ketua Pengarah; dan Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, Naib Canselor USM.

"Pelantikan ini sedikit sebanyak menyuntik semangat serta motivasi kepada saya untuk mempertahankan serta mengukuhkan hubungan kaum dan etnik di negara Malaysia ini," jelasnya.

Sivamurugan juga merupakan seorang penganalisis politik yang kadang kala memberi buah pemikiran dan pendapatnya mengenai keadaan politik di negara ini melalui rancangan dan juga berita arus perdana negara.

Anak bongsu daripada 6 beradik ini dibesarkan di Tanjong Malim Perak dalam suasana harmoni serta dididik oleh keluarganya mengenai nilai kenegaraan yang juga telah membuatkannya memiliki ciri dan semangat tinggi patriotisme sejak dari kecil lagi.

Sivamurugan juga akan terlibat dalam program-program yang direncanakan oleh Jabatan Penerangan Malaysia sepanjang bulan kemerdekaan ini selain menjadi jurucakap untuk program tertentu.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 1746

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024