ATLET MEMANAH USM WAKILI MALAYSIA KE SUKAN UNIVERSITI DUNIA (UNIVERSIADE) 2017, TAIPEI
1 Ogos 2017 - Atlet memanah wanita Universiti Sains Malaysia (USM) yang tidak asing lagi, Fatin Nur Fatehah Mat Salleh, sekali lagi mengharumkan nama universiti apabila terpilih untuk mewakili negara ke Kejohanan Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2017 yang akan berlangsung pada 19 hingga 30 Ogos 2017 di Taipei, Taiwan.
Fatin, 26, yang berasal dari Sabah merupakan penuntut dalam bidang Sarjana Sains Sukan di Pusat Pengajian Sains Perubatan telah banyak mengharumkan nama negara dalam sukan memanah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Sepanjang penglibatannya, Fatin telah memenangi beberapa kejohanan dunia iaitu Compound Wanita di Kejohanan Memanah Universiti Asia (1 emas), Kejohanan Memanah Piala Dunia 2015 (1 emas berpasukan), Kejohanan Memanah Piala Asia 2015 (1 perak berpasukan dan 1 gangsa individu), Kejohanan Memanah ASEAN 2015 (1 gangsa berpasukan), Sukan SEA ke-28 Singapura (3 emas untuk individu, berpasukan dan campuran).
Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail dan pihak Pengurusan Tinggi serta seluruh warga USM amat bangga dengan pemilihan tersebut dan mengharapkan Fatin akan terus menunjukkan prestasi yang cemerlang sekaligus menjulang nama negara dalam kejohanan peringkat antarabangsa itu nanti.
Untuk Kejohanan Sukan Universiti Dunia (Universiade) kali ini, Kementerian Pendidikan Tinggi akan menghantar seramai 61 orang atlet dan 29 orang pegawai sebagai kontinjen Malaysia.
Teks: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 1885