PING PONG USM SAHKAN LIMA SLOT FINAL SUKUM
TANJUNG MALIM, 30 Julai 2017 – Pasukan ping pong Universiti Sains Malaysia (USM) mengungguli gelanggang apabila mengesahkan lima tempat dalam saingan akhir acara itu di Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini hari ini.
Lima acara yang menjanjikan pingat tersebut adalah perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita serta beregu lelaki veteran yang akan meneruskan pemburuan pingat kontinjen, esok.
Pasukan hoki turut menepati ramalan mengenepikan cabaran Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan jaringan 2-0 dalam perlawanan selama 40 minit tersebut.
Kejayaan tersebut mengesahkan kemaraan pasukan USM ke perlawanan separuh akhir yang dijadualkan berlangsung pada Selasa, namun mereka terlebih dahulu perlu melengkapkan permainan di peringkat kumpulan menentang tuan rumah, UPSI, esok.
Pasukan bola jaring turut mara ke pusingan suku akhir, menewaskan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) 32-31 dalam saingan peringkat kumpulan untuk mengiringi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke peringkat seterusnya.
Ketua Kontinjen USM, Profesor Dato' Dr. Ahmad Zakaria menegaskan, beliau amat berpuas hati dengan keseluruhan pencapaian pasukan USM setakat ini dan berharap lebih banyak kejayaan dapat dihasilkan dalam fasa seterusnya.
"Esok akan ada lebih banyak acara yang memulakan saingan dan saya berharap para atlet dapat menyajikan semangat juang yang tinggi dan membuahkan pingat emas buat kontinjen USM," katanya.
Dalam pada itu, antara acara lain yang akan membuka tirai pada hari ketiga kejohanan SUKUM adalah badminton, tenis, bola tampar, petanque, tenpin bowling dan sebagainya.
Teks: Marziana Mohamed Alias /Foto: Ebrahim Abdul Manan
- Created on .
- Hits: 1492