USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM JOHAN PERTANDINGAN PENGISAHAN NEGARAKU PULAU PINANG 2017

IMG 6175 

PULAU PINANG, 30 Julai 2017 - Pasukan dari Universiti Sains Malaysia (USM) mengulangi kemenangan berganda seperti tahun lalu apabila berjaya menjadi Johan Pertandingan Pengisahan Negaraku Peringkat Negeri Pulau Pinang 2017 hari ini.

Mempertaruhkan pengisahan yang bertajuk Kanang Anak Langkau: Pahlawan Bumi Kenyalang, pasukan USM berjaya membawa pulang sijil, trofi dan wang tunai RM3,000 dan akan mewakili negeri Pulau Pinang pada 29 September 2017 di Selangor untuk pertandingan peringkat nasional.

Bagi pelakon, Zulkifli Che Hussin, beliau bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana berjaya menjadi Johan dan baginya ini merupakan satu medium pentas yang berguna untuk penyampaian mesej kepada masyarakat bahawa sejarah adalah satu perkara yang tidak boleh dilupai apa lagi ditinggalkan.

"Setiap titik darah pejuang kemerdekaan adalah kebahagiaan yang dinikmati oleh generasi kini," katanya yang juga merupakan Pegawai Kebudayaan Kanan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM.

Kanang Anak Langkau: 'Begitu Lembayung Bersinar' telah dilakonkan oleh Zulkifli, Faris Nordin (pelajar sarjana PP Komunikasi) dan Muhammad Abrar Md Asraf (pelajar tahun 1 PP Seni USM).

Skrip yang ditulis dan diarahkan oleh Pegawai Kebudayaan Dewan Budaya Ahmad Hashim atau nama penanya Senibayan mengisahkan tentang Kanang Anak Langkau seorang perwira yang telah menerima pelbagai anugerah di peringkat nasional dan juga negeri. Kisah yang diangkat mengenai perjuangan dan jasa bakti yang diberikan Kanang sepanjang berkhidmat sebagai seorang askar.

USM turut mendapat tempat ketiga dengan pengisahan "Abdullah Fahim: Suara di Ufuk Nurani". Kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai anak seni timur laut mewakili daerah timur laut dengan dianggotai Murshid Md Hussain (Pegawai Kebudayaan Kanan Dewan Budaya USM), Nur Syuhadah Amzah (pelajar tahun 2 PP Seni USM), dan Nurul Najwa Mohamad Subri (pelajar tahun 2 PP Seni USM).

Penulis dan pengarah juga Senibayan telah membawa kisah seorang tokoh ulama nusantara iaitu Syeikh Abdullah Fahim. Kisah tokoh dari Pulau Pinang ini dibawa ke pentas demi mengambil semangat juang Abdullah Fahim yang setia kepada perjuangan agama, bangsa dan negara.

Pertandingan yang melibatkan 5 daerah di Pulau Pinang dan 5 kumpulan ini merupakan anjuran Jabatan Penerangan Negeri Pulau Pinang.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 1133

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024