USM TUAI 3 EMAS HARI PERTAMA SUKUM
TANJUNG MALIM, 29 Julai 2017 – Universiti Sains Malaysia (USM) membuka gelanggang Kejohanan Sukan Antara Staf Universiti Malaysia (SUKUM) dengan meraih tiga pingat emas, dua perak dan lima gangsa.
Keseluruhan pingat USM diraih menerusi acara olahraga yang membuka gelanggang di Kompleks Sukan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini hari ini.
Emas pertama USM diraih atlet acara 1500m Lelaki Veteran, A. Jeghathesan dan diikuti atlet 400m Wanita Veteran, Dr. Choong Yee Siew.
Yee Siew sekali lagi menyumbang emas buat kontinjen USM bersama kuartet 4x100m Wanita Veteran, menjadikan pungutan keseluruhan tiga emas.
Gelanggang olahraga turut membuahkan dua lagi pingat perak dan lima gangsa sejurus tamat saingan hari pertama.
USM turut melakar kemenangan pertama dalam beberapa acara lain termasuk acara tumpuan bola sepak apabila menewaskan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan jaringan 2-1.
Pasukan hoki lelaki USM turut menepati sasaran menewaskan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga dengan jaringan 2-1, manakala pasukan ping pong cemerlang mengatasi Universiti Putra Malaysia (UPM) 3-0.
Nasib tidak menyebelahi pasukan bola jaring USM apabila terpaksa akur dengan kekalahan tipis kepada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan keputusan 27-23.
Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 1789