USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MAJLIS SYARAHAN UMUM PELANTIKAN PROFESOR RAI PAKAR NEUROSURGERI

USM, KUBANG KERIAN, 23 Julai 2017 - Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor merupakan satu medium bagi seseorang profesor untuk mengetengahkan ilmu serta penemuan untuk disebarluaskan kepada masyarakat umum.

Pada kali ini, Pakar Bedah Neurosurgeri yang juga Ketua Jabatan Neurosains di Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Zamzuri Idris telah diraikan dalam satu majlis yang gilang gemilang yang berlangsung di Dewan Utama Kampus Kesihatan di sini.

Dalam syarahan beliau bertajuk ‘Pemetaan Otak dan Roh serta Beberapa Rahsianya’, Zamzuri berkata, otak manusia adalah organ istimewa yang berada di tempat paling atas dan dikelilingi oleh cecair cerebrospinal. Kajian menunjukkan kandungan otak terdiri daripada 70 peratus cecair dan 30 peratus pepejal manakala 60 peratus daripada pepejal tersebut terdiri daripada lemak.

Tambahnya, kaedah pemetaan otak dapat membantu pakar bedah saraf menjalankan pembedahan dengan lebih selamat.

"Di Hospital Universiti Sains Malaysia, pelbagai teknik pemetaan fungsi otak digunakan untuk merawat pesakit. Antara kaedah yang digunakan adalah seperti kaedah 'Magnetoencephalography' (MEG), 'Electroencephalography' (EEG), 'Electrocorticography' (ECoG), 'Functional Magnetic Resonance Imaging' (fMRI), stimulasi otak semasa pembedahan otak secara sedar, 'Transcranial Magnetic Stimulation' (TMS) dan 'Diffusion Tensor Imaging' (DTI)," katanya.

Jelas Zamzuri, pemetaan otak manusia dilakukan untuk mengesan deria rasa (sensory), gerakan (motor), penglihatan (visual), pendengaran (auditory), percakapan (language), aritmetik (calculation), konsentrasi (concentration) dan ingatan (memory).

"Selain dari pembedahan yang lebih selamat, pemetaan otak dapat memberi maklumat-maklumat yang penting untuk direkodkan dan maklumat ini amat berguna untuk membantu pesakit dalam proses rehabilitasi selain pembuatan robotik," ujarnya.

Menurut Zamzuri lagi, USM merupakan sebuah Institusi Pengajian Awam yang menawarkan ijazah peringkat sarjana neurosugeri yang akan melahirkan pakar bedah otak sebagai pelapis dalam perubatan neurosurgeri.

"Saya berharap lebih ramai pakar bedah otak yang dapat dilahirkan kerana bidang neurosurgeri masih lagi baru dan boleh diterokai dengan lebih mendalam lagi," katanya lagi.

Zamzuri bergraduasi dengan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dari University of Wales College of Medicine, Cardiff, UK pada tahun 1994. Selepas itu beliau menyambung pelajaran dalam bidang kepakaran Neurosurgeri di USM dan tamat pengajian pada tahun 2005. Pada tahun 2007, beliau memperoleh anugerah Felo Pasca Neuroendoscopy dan Functional Neurosurgery dari University of Gent, Belgium.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USM, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah; Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Ahmad Sukari Halim, dan Dekan PPSP merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail.

Teks: Mohd Hafiz Yaacob/Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood

  • Created on .
  • Hits: 1310

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024