PRN USM KAJI KESAN PENDEDAHAN DIOXINS DALAM KALANGAN ANGGOTA BOMBA
KUALA LUMPUR, 24 Julai 2017 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Racun Negara (PRN) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi mengkaji kesan pendedahan dioxins dalam kalangan anggota bomba.
Menurut wakil Naib Canselor USM yang juga ketua penyelidik, Profesor Dato’ Dr Mohamed Isa Abd Majid kajian ini adalah yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara.
“Secara spesifik, kajian ini adalah untuk mengkaji pendedahan Polychlorinated Dibenzo Dioxins (PCDDs), Polychlorinated Dibenzo Furans (PCDFs) dan dioxin-like Polychlorinated Biphenyl (dl-PCBs) dalam kalangan anggota bomba hasil dari pemadaman kebakaran hutan, belukar dan hutan gambut yang dihadapi semasa keadaan berjerebu di rantau ini. Kumpulan bahan kimia dioxins ini boleh menyebabkan kanser,” kata Mohamed Isa.
“Seramai 32 anggota JBPM daripada 400 anggota akan dipilih bagi diambil serum darah untuk analisis makmal bagi menilai kandungan PCDDs, PCDFs dan dl-PCBs,” tambahnya.
Kajian tersebut akan melibatkan anggota JBPM dari Kelantan, Pahang, Johor dan Selangor serta dibiayai oleh geran penyelidikan Fundamental Research Grant Scheme (FRGS) bernilai RM97,000.
Turut hadir menyaksikan majlis MoU ini adalah Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wira Hj. Wan Mohd Nor Hj. Ibrahim dan bagi pihak JBPM MoU ditandatangan oleh Penolong Ketua Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan JBPM, Ahmad Izram Osman.
Teks & foto sumbangan: Ahmad Shalihin Mohd Samin/Suntingan: Nor Rafizah Md Zain.
- Created on .
- Hits: 1694