USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

UNIVERSITI GALAK WARGANYA MEMBUDAYAKAN INOVASI

KIK 2017 1

USM, PULAU PINANG, 19 Julai 2017 – Kumpulan Protech dan Galaksi R-3 dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) masing-masing telah dinobatkan sebagai Johan Kategori Pengurusan dan Johan Kategori Teknikal dalam pertandingan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) USM 2017 yang diadakan di Dewan Budaya USM hari ini.

Hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Pendaftar USM Profesor Dato’ Dr. Abd. Aziz Tajuddin mewakili Naib Canselor USM.

Dalam ucapan perasmian penutup konvensyen tersebut, beliau berkata, universiti sangat menggalakkan seluruh warganya supaya sentiasa melibatkan diri dalam aktiviti inovasi dan bersifat kreatif.

“Ini adalah sejajar dengan peranan universiti yang merupakan pencetus dan peneroka kepada penemuan ilmu baharu yang boleh dimanfaatkan oleh ahli masyarakat.

“Penglibatan staf dalam aktiviti seumpama ini akan memberi nilai tambah kepada diri masing-masing dan akan melahirkan staf yang berfikiran kritikal dan multitasking,” tambahnya lagi.

Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) 2017 Universiti Sains Malaysia merupakan satu medan penerokaan dan perkongsian ilmu baru yang dapat diaplikasikan dalam tugasan seharian di jabatan masing-masing.

Pada tahun ini, tema “Membudaya Inovasi, Memacu Transformasi” dipilih selaras dengan program transformasi yang diperkenalkan oleh kerajaan.

Menurut Pengarah IPPT selaku Pengerusi KIK 2017, Dr. Norehan Mokhtar, melalui konvensyen ini mampu memberi banyak manfaat kepada setiap jabatan untuk menilai tahap kecemerlangan masing-masing serta mengetahui kekuatan, kelemahan dan cadangan penambahbaikan.

“Saya berharap agar setiap daripada kita bersungguh-sungguh dalam mengamalkan budaya kerja berkualiti dan melipatgandakan usaha untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti perkhidmatan,” katanya.

Konvensyen KIK pada kali ini melibatkan penyertaan sebanyak 4 kumpulan yang terdiri daripada 2 kumpulan bagi kategori Pengurusan dan 2 kumpulan lagi bagi kategori Teknikal.

Hadir sama dalam majlis ini ialah Pengarah Pusat Kualiti Universiti Profesor Madya Dr. Ahmad Haji Mohamad; Pengarah Pusat Sejahtera Dr. Normala Abdul Wahid dan Timbalan Pendaftar Kanan Pusat Transformasi Insan Mohamad Abdullah.

Teks: Faisal Jamaludin / Foto: Norizan Ishak

  • Created on .
  • Hits: 1213

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024