NAIB CANSELOR MERIAHKAN RUMAH TERBUKA AIDILFITRI IPPT

Aidilfitri 2017

BERTAM, 20 Julai 2017 – Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM) berlangsung dalam suasana yang sangat meriah dan diserikan dengan kehadiran Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail.

Naib Canselor dalam ucapan ringkasnya merasa amat berbangga dengan kesungguhan dan kerajinan yang ditunjukkan oleh staf dan pelajar yang bertungkus-lumus menyediakan juadah sempena majlis ini.

“Adalah menjadi harapan saya agar melalui aktiviti memasak dan bergotong royong ini akan mengeratkan silaturahim dan memupuk semangat kekitaan dalam kalangan pelajar dan staf tidak kira pangkat dan jawatan,” katanya.

“Ini adalah satu keunikan dan lain dari yang lain kerana kita berpeluang untuk merasai makanan daripada luar negara yang disediakan oleh pelajar antarabangsa. Penglibatan pelajar bersama-sama dengan staf dalam aktiviti-aktiviti seperti ini seharusnya dipuji,” tambahnya lagi.

Buat julung-julung kalinya majlis rumah terbuka pada kali ini menampilkan penyertaan pelajar antarabangsa dan tempatan yang turut mengambil bahagian menyediakan hidangan menu istimewa daripada negara masing-masing.

Antara menu unik yang mendapat sambutan pada majlis kali ini ialah hidangan ‘ayam pansuh’ atau lebih dikenali dengan ‘manok pansuh’ oleh masyarakat Dayak di Sarawak. Juadah ini merupakan makanan tradisional mereka yang dimasak di dalam buluh dan dibakar dengan kayu api atau lebih baik di atas bara api. Lebih menarik lagi, hidangan ini disediakan oleh para pelajar dalam dan luar negara secara bergotong royong.

Terdahulu, Naib Canselor dibawa melawat ke semua gerai sambil beramah mesra dan bersalaman dengan staf, pelajar dan tetamu yang hadir.

Turut hadir ialah Pengarah IPPT Dr. Norehan Mokhtar; Penolong Rektor Universiti Teknologi Mara Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam Dr. Mohd Izani Othman; Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Azmi Adam; dan Pengarah Pusat Islam USM Profesor Madya Dr. Sofri Yahya.

Teks: Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid & Mohd Faisal Jamaludin
Foto: Norizan Ishak

Share This

Pusat Media dan Perhubungan Awam / Media and Public Relations Centre
Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800 USM, Pulau Pinang Malaysia
Tel : +604-653 3888 | Fax : +604-658 9666 | Email : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Laman Web Rasmi / Official Website : Universiti Sains Malaysia
Client Feedback / Comments
| USM News Portal. Hakcipta Terpelihara USM 2015